KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka mendatar pada Selasa dalam persekitaran prestasi pasaran serantau bercampur-campur walaupun prestasi positif semalamandi Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.55 mata kepada 1,649.25 berbanding 1,648.70 ketika ditutup semalam.

Indeks baramoter dibuka meningkat 0.86 mata kepada 1,649.56

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 268 berbanding 142, manakala 295 kaunter tidak berubah, 1,775 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 277.58 juta unit bernilai RM179.14 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi Bursa Malaysia yang kukuh semalam agak mengejutkan dan turut dirangsang oleh kemasukan dana asing dengan melepas paras 1,630.

"FBM KLCI melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu sebelum meningkat dan mencapai paras di bawah 1,650.

"Walaupun volum harian kekal di bawah jangkaan, kami percaya penyertaan runcit akan muncul tidak lama lagi, disokong oleh kecairan pasaran yang bertambah baik," katanya kepada Bernama.

Thong menjangkakan aliran menaik akan berterusan dengan indeks dijangka berlegar dalam julat 1,650-1,660 hari ini.

Di Amerika Syarikat, Thong berkata Wall Street juga meneruskan aliran menaiknya kerana sentimen kekal positif disebabkan jualan runcit yang kukuh dan tuntutan pengangguran lebih rendah.

"Akibatnya, Indeks Perindustrian Dow Jones naik 237 mata manakala Nasdaq menambah 245 mata dengan hasil 10 tahun AS susut kepada 3.875 peratus," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional melonjak 8.0 sen kepada RM13.98, IHH Healthcare menokok 3.0 sen kepada RM6.30, Public Bank meningkat 1.0 sen kepada RM4.55, CIMB Group tidak berubah pada RM7.97 manakala Maybank merosot 2.0 sen kepada RM10.58.

Antara kaunter paling aktif, TWL Holdings menokok 0.5 sen kepada 3.0 sen, Pestech International menambah 0.5 sen kepada 21.5 sen dan Top Glove naik 1.0 sen kepada RM1.00, Velocity Capital tidak berubah pada 6.5 sen dan Perdana Petroleum jatuh 2.0 sen kepada 43.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 20.40 mata kepada 12,500.23, Indeks FBMT 100 menambah 20.45 mata kepada 12,148.82, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 28.38 mata kepada 12,442.85, Indeks FBM 70 menokok 91.02 mata kepada 18,048.23 dan Indeks FBM ACE naik 15.14 mata kepada 5,416.29.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 0.30 mata kepada 184.21, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.86 mata kepada 19,103.68, Indeks Tenaga jatuh 0.86 mata kepada 948.59 dan Indeks Perladangan susut 11.01 mata kepada 7,143.57.

-- BERNAMA