KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melanjutkan aliran menurunnya untuk dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi semalaman Wall Street dalam persekitaran kebimbangan mengenai kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.30 mata kepada 1,604.05 daripada paras penutup 1,605.35 semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 2.14 mata kepada 1,603.21.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 416 berbanding 144, dengan 282 kaunter tidak berubah, 1,571 tidak diniagakan dan 70 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 414.44 juta saham bernilai RM237.97 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street AS merosot apabila wujud sentimen tidak menentu mengenai kebimbangan kadar faedah berikutan hasil perbendaharaan yang lebih tinggi.

Beliau berkata ketika peniaga menunggu data inflasi utama esok, ramai yang memutuskan untuk mengambil keuntungan berikutan kenaikan saham AS baru-baru ini.

"Sehubungan itu, Purata Perindustrian Dow Jones kehilangan 411.32 mata manakala Nasdaq Composite susut 99.30 mata apabila hasil 10 tahun AS lebih tinggi pada 4.61 peratus," katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI ditutup di bawah paras 1,610 apabila aktiviti jualan berterusan dan disebabkan oleh prestasi serantau lemah sementara menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dan Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS.

"Jangkaan kami mengenai kenaikan semula tidak menjadi kenyataan semalam. Oleh itu, kita mungkin melihat satu hari lagi penyatuan untuk indeks penanda aras sehingga keadaan ketidakpastian sedia ada reda.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks akan berlegar antara julat 1,600-1,610 hari ini," katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM13.18, CIMB jatuh lima sen kepada RM6.82, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing pada RM9.90 dan RM6.19 manakala Public Bank menambah satu sen kepada RM4.09.

Bagi kalangan saham cergas, Lagenda Properties merosot 2.5 sen kepada 92 sen, Capital A berkurangan dua sen kepada 84 sen, TW Holdings tidak berubah pada 2.5 sen. My EG Services meningkat tiga sen kepada RM1.07 dan Epicon naik satu sen kepada 32.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 27.10 mata kepada 12,217.44, Indeks FBMT 100 turun 22.25 mata kepada 12,217.44 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 31.33 mata kepada 12,447.24, Indeks FBM ACE jatuh 36.28 mata kepada 5,403.62 dan Indeks FBM 70 berkurangan 84.58 mata kepada 17,557.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 16.49 mata kepada 17,482.54, Indeks produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.05 mata kepada 194.39, Indeks Tenaga turun 11.35 mata kepada 982.54, Indeks Perladangan menambah 9.49 mata kepada 7,153.71.

-- BERNAMA