Bank Negara Malaysia (BNM) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Kabinet untuk menyiasat kerugian pertukaran asing yang berlaku lebih 25 tahun yang lalu.

Menerusi satu kenyataan di sini hari ini, bank pusat itu berkata ia akan terus berusaha untuk mengekalkan standard tertinggi penzahiran dan ketelusan dalam aktiviti yang dijalankannya.

"Bank itu juga telah memperkukuh kedudukan kewangannya, tadbir urus dan kebertanggungjawaban dengan ketara, terutama dari segi pengurusan rizab," katanya.

BNM berkata dalam persekitaran semasa yang mencabar dan tidak menentu ini, ia terus memberikan tumpuan dan tidak terganggu dalam usahanya untuk memastikan ekonomi dan sistem kewangan kekal stabil dan berdaya saing untuk menyokong aktiviti ekonomi negara.

-- BERNAMA