Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta
industri berkaitan akan dilaksanakan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.
Beliau menambah, Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam.
"Cukai Jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang
diimport seperti ikan salmon dan avokado
"Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
"Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.
Usaha tersebut katanya, dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.
"Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), amanah saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan pendapatan dividen dari luar negara," kata Anwar.
Bertemakan 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera', ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.