Ringkasan AI
- RM10 juta daripada RM20 juta Belanjawan 2025 untuk e-sukan akan digunakan untuk pembinaan stadium e-sukan, manakala baki untuk latihan dan aktiviti berkaitan.
- Stadium ini bertujuan mengembangkan industri e-sukan, mengambil inspirasi dari Sarawak yang telah membina Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) untuk e-sukan.
- E-sukan berpotensi besar sebagai sumber pendapatan dan industri, dengan peluang kerjaya dalam bidang TVET seperti pengurusan pasukan, produksi, dan kewartawanan e-sukan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan stadium e-sukan baharu itu, bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan lagi pembangunan industri berkenaan pada masa hadapan.
"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dalam ucapan pada Belanjawan lepas (18 Okt), beliau telah umumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk e-sukan ini.
"Daripada jumlah berkenaan, RM10 juta akan digunakan untuk dibangunkan stadium khusus untuk e-sukan, manakala bakinya adalah untuk latihan dan juga aktiviti lain berkaitan dengan e-sukan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity di sini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Anwar pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dalam industri e-sukan, Sarawak telah mengambil langkah kehadapan dengan membina Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), bagi pembangunan sukan itu.
Beliau berkata langkah yang diambil oleh kerajaan Sarawak juga boleh dicontohi Johor, memandangkan e-sukan tidak hanya dilihat sebagai sukan permainan dalaman semata-mata, bahkan boleh dijadikan sebagai punca pendapatan.
"Semua pihak perlu memanfaatkan ekosistem e-sukan yang semakin berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 12.6 peratus.
"Industri e-sukan berpotensi besar untuk dikembangkan melalui program khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja-kerja teknikal," katanya.
Terdahulu, acara peringkat akhir MPLMY perlawanan antara Vamos (VMS) dan Selangor Red Giants (SRG), disaksikan lebih 2,000 pengunjung.
-- BERNAMA