KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di bangunan Parlimen dengan mengenakan baju Melayu berwarna kelabu lengkap bersamping.

Beliau meneruskan tradisi menggunakan hasil kreatif kraf tangan tempatan iaitu beg fail berwarna hitam dengan corak tenunan songket bersulam benang emas yang berisi dokumen Belanjawan 2025.

Kerja seni tenunan songket beg itu dihasilkan oleh pereka tempatan Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan manakala beg direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang.

Selain tenunan songket di bahagian luar, beg itu turut menerapkan kombinasi sari bagi lapisan dalam.

Beliau turut ditemani Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan timbalannya, Lim Hui Ying.

Perdana Menteri juga sempat beramah mesra dengan media yang menanti kehadiran beliau di lobi Parlimen sebelum bergerak memasuki Dewan Rakyat.

Perdana Menteri bertolak dari Kementerian Kewangan pada jam 3.15 petang dalam majlis yang turut dihadiri Amir Hamzah dan Hui Ying.

Bertemakan 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera', ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.