KUALA LUMPUR: Perjanjian pembekalan gas (GSA) yang dipermudahkan, bekalan gas asli pada kos yang dikurangkan dan pemansuhan ses eksport 0.2 peratus -- perkara ini yang mendapat permintaan tinggi dalam senarai harapan industri sarung tangan getah Malaysia untuk Belanjawan 2024.

Industri menggesa Suruhanjaya Tenaga untuk mempertimbangkan menyemak semula GSA dengan mengguna pakai mekanisme penetapan harga bayar mengikut penggunaan yang lebih adil.

"GSA semasa adalah rumit dengan pelbagai penalti dan syarat ambil atau bayar yang 'ketat', telah menjejaskan pengeluar tempatan dengan ketara serta mengehadkan fleksibiliti dan daya saing pengeluar sarung tangan kita di pasaran antarabangsa," kata Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Oon Kim Hung kepada Bernama.

Katanya MARGMA amat menggalakkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mempertimbangkan menyediakan gas asli kepada Gas Malaysia Bhd dan anak syarikatnya, Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd pada kos yang membolehkan industri bersaing dengan pengeluar luar negara yang menggunakan arang batu.

Beliau berkata langkah sedemikian akan menghasilkan harga tenaga yang lebih rendah dan lebih kompetitif untuk industri sarung tangan getah dan industri lain yang bergantung kepada gas asli di Malaysia.

"Inisiatif ini juga akan membolehkan Malaysia memanfaatkan sumber minyak dan gas aslinya untuk mengeluarkan produk eksport dengan nilai tambah, sekali gus meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi Malaysia dengan ketara," katanya.

Oon berkata sektor getah kini beroperasi dalam persekitaran paling mencabar, menghadapi persaingan sengit terutamanya dari negara yang mempunyai akses kepada tenaga murah daripada arang batu, seperti China.

Dalam beberapa tahun ini, misalnya, kerajaan China dan Thailand telah mengambil langkah tambahan untuk menawarkan insentif baharu untuk menggalakkan pengekalan aktiviti pembuatan di sempadan mereka.

"Industri kita mempunyai pelbagai pemain daripada peringkat perusahaan kecil dan sederhana hingga konglomerat besar, yang menarik pelaburan langsung asing dengan ketara, serta syarikat awam berhad utama.

"Bagi memastikan kumpulan ini dapat bertahan di Malaysia, langkah-langkah untuk menangani isu kritikal dengan segera adalah diperlukan.

"Tanpanya, menjadi persoalan sama ada industri akan dapat bertahan dalam keadaan semasa dan dapat membuat sumbangan yang besar kepada ekonomi Malaysia," katanya.

Begitu juga, Top Glove Corporation Bhd -- pengeluar sarung tangan getah asli terbesar dunia -- berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyediakan gas asli pada harga kompetitif kepada pengeluar Malaysia, berbanding mengeksport sumber ini.

"Kos tenaga haba daripada gas asli adalah amat tinggi, menyebabkan pengeluar sarung tangan getah Malaysia kurang berdaya saing berbanding negara pengeluar sarung tangan getah lain yang mempunyai kos tenaga yang lebih rendah.

"Berdasarkan ini, daripada mengeksport sumber asli ini, lebih bermanfaat untuk menyediakan gas asli pada harga kompetitif kepada pengeluar Malaysia berikutan ini akan menggalakkan pertumbuhan aktiviti hiliran, mewujudkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan perniagaan untuk industri sokongan selain meningkatkan nilai eksport dan aliran masuk pendapatan asing," katanya.

Top Glove turut mencadangkan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar yang munasabah, sambil menambah GST adalah sistem cukai yang lebih berkesan, cekap dan telus.

Selain pelaksanaan GST, kumpulan itu berharap kepada pengurangan secara berperingkat untuk kadar cukai korporat serta lanjutan elaun pelaburan semula khas yang tamat pada 2024, dengan notis awal diberikan untuk membolehkan syarikat korporat merancang lebih awal.

MARGMA turut berharap kerajaan akan mempertimbangkan pemansuhan serta-merta ses eksport 0.2 peratus, membolehkan industri terus berdaya tahan dalam situasi semasa yang mencabar dan mengukuhkan daya saing globalnya pada masa depan.

"Industri telah tertakluk kepada ses eksport 0.2 peratus selama lebih 20 tahun, membawa kepada industri sarung tangan getah membayar lebih RM500 juta untuk ses eksport dalam tempoh ini.

"Dalam tahun-tahun terbaik kami, ses 0.2 peratus ini menyumbang sebanyak dua peratus daripada margin keuntungan kasar kami.

"Bagaimanapun, berdasarkan purata harga jualan semasa yang merosot di bawah kos pengeluaran, industri terus membayar ses eksport walaupun mengalami kerugian pada setiap kontena yang dieksport," menurut persatuan itu.

Dibentangkan di Parlimen pada 13 Okt, Belanjawan 2024 akan menjadi belanjawan kedua yang diumumkan oleh kerajaan perpaduan.

-- BERNAMA