Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan hari ini berharap insentif itu dapat membantu peminjam PTPTN dalam membuat bayaran balik.
"Sebagai sebuah kerajaan Malaysia MADANI yang bersifat ihsan, peduli, berkasih sayang dan merasai keperitan rakyat, kerajaan telah memberikan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN melalui Belanjawan 2024.
"Sehubungan itu, perincian berkenaan pelaksanaan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.
Berdasarkan Belanjawan 2024, diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN melibatkan diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi amat berterima kasih dan komited untuk melaksanakan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman itu yang bermula hari ini hingga 31 Mac 2024.
Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rami PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi careline PTPTN di 03-2193 3000, live chat, e-Aduan di http://eaduan.ptptn.gov.my/, eksekutif pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn dan media sosial rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
-- BERNAMA