Katanya, pemangkin positif lain termasuk pembangunan Iskandar Malaysia dan potensi kelonggaran Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
"Kami menjangkakan kerajaan akan terus menyokong pemilikan rumah untuk kumpulan pendapatan B40 dan M40 dengan tumpuan khusus kepada pembeli rumah kali pertama.
"Kami mengharapkan kerajaan meluaskan skop skim sewa untuk dimiliki (RTO) untuk kebolehcapaian kepada lebih ramai individu dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Dalam usaha mempromosikan pemilikan rumah, firma penyelidikan itu percaya terdapat peluang tinggi untuk lanjutan pengecualian duti setem 75% yang diperkenalkan sebelum ini bagi rumah berharga RM500,000 hingga RM1,000,000 di bawah Inisiatif Pemilikan Rumah Malaysia (i-MILIKI), yang tamat tempoh pada akhir 2023.
Katanya, i-MILIKI menawarkan 100% pengecualian duti setem untuk pembeli rumah kali pertama untuk hartanah berharga di bawah RM500k (tamat tempoh pada akhir 2025) dan 75% pengecualian untuk hartanah berharga antara RM500k hingga RM1 juta (tamat tempoh menjelang akhir 2023).
AmInvestment berkata, Malaysia dan Singapura dijangka memuktamadkan terma rujukan mengenai cadangan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura selepas perbincangan antara pemimpin kedua-dua negara pada Oktober 2023.
"Justeru, kami mengharapkan kerajaan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai SEZ Johor-Singapura yang dirancang dalam belanjawan akan datang," katanya.
Firma penyelidikan juga menjangkakan kerajaan akan mengulangi komitmennya untuk menyediakan butiran lanjut mengenai projek infrastruktur yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).
Projek-projek itu termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas di Pulau Pinang, menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru dan Lebuhraya Utara-Selatan, pembinaan Jalan Hubungan II Sarawak Sabah dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, serta pembesaran Bas Rapid Transit (BRT) dan perkhidmatan bas antara bandar.
"Selain itu, terdapat kemungkinan kerajaan mengumumkan pelaksanaan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan potensi pemulihan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura," katanya.
AmInvestment mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor hartanah. - DagangNews.com