BENTONG: Pembangunan bandar pintar yang terancang, bersepadu dan holistik amat penting bagi memastikan Malaysia sentiasa seiring dengan arus pembangunan perbandaran di peringkat global.

Inisiatif bandar pintar juga merupakan pendekatan terbaik dalam pengurusan bandar yang dapat memberikan penyelesaian dalam menangani pelbagai cabaran dihadapi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Naib Presiden Eksekutif TM ONE, Shazurawati Abd Karim berkata, Telekom Malaysia (TM) menerusi unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awamnya, TM ONE bersedia untuk berkolaborasi dengan PBT bagi merealisasikan usaha pembangunan bandar pintar melalui aset-aset tersedia syarikat.

Beliau berkata, ia termasuk rangkaian infrastruktur jalur lebar terluas, kabel dasar laut, menara telekomunikasi, perkhidmatan awan, pusat data serta keselamatan siber.

“Menerusi aset-aset ini, TM ONE dapat membantu dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan bandar pintar serta penyelesaian lebih efektif kepada PBT.

"Ia selaras dengan aspirasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mewujudkan ‘Malaysia yang lebih Berdaya Huni atau Liveable Malaysia’

“Pembangunan bandar bukanlah sekadar untuk menjadikan sesebuah bandar itu lebih pintar, tetapi melengkapkannya bersama elemen inovatif dan kreatif dalam memanfaatkan teknologi bagi kemudahan, keselesaan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

TM ONE berjaya bersama-sama merealisasikan bandar pintar di beberapa bandar utama seluruh negara seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuching

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada program City LEAP Summit 2022 di Geo Hotel, Genting Highland dekat sini, pada Selasa.

Beberapa buah bandar yang aktif dalam melaksanakan strategi bandar pintar termasuklah Amsterdam, Barcelona, Seoul, Stockholm, Singapura, Phuket dan Jakarta.

Menurut Shazurawati, teknologi seperti perkhidmatan awan (cloud services) mampu menampung sejumlah besar maklumat dan membolehkan pelaksanaan kecerdasan buatan (AI), segalanya internet (IoT), data raya (big data) dan aplikasi-aplikasi lain bagi menjayakan pembinaan bandar pintar.


“Himpunan penyelesaian pintar pula harus dilengkapi dengan keselamatan siber bagi melindungi privasi data rakyat Malaysia secara aktif, masa nyata, berterusan dan bersifat ramalan. Semua ini mampu dibawakan oleh TM ONE.”

“TM ONE berjaya bersama-sama merealisasikan bandar pintar di beberapa bandar utama seluruh negara seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuching” ujarnya.

City LEAP Summit 2022 mengangkat tema ‘Penyelesaian Khusus Untuk Rakyat’ dalam membincangkan pelan tindakan menambah baik perancangan bandar pintar dan menangani cabaran pengurusan perbandaran.