Berdasarkan satu kajian yang mendapati 97 peratus ibu bapa Malaysia akan memandu dengan lebih selamat apabila anak-anak mereka berada di dalam kereta, syarikat telekomunikasi Maxis dan aplikasi pemanduan Waze bertindak untuk melancarkan Voice Pack untuk Mod Selamat yang pertama di dunia.

Menurut Ketua Pemasaran Maxis, Sulin Lau, 'Safe Mode Voice Pack' yang menggunakan navigasi suara kanak-kanak ini dapat membantu 1.4 juta pengguna Waze di Malaysia memandu dengan selamat terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

"Navigasi suara kanak-kanak diilhamkan berdasarkan satu kajian yang mendapati 97 peratus daripada ibu bapa Malaysia berkata mereka memandu dengan lebih selamat apabila anak-anak mereka berada di dalam kereta.

"Projek ini juga adalah untuk membangunkan satu cara inovatif bagi mengingatkan ibu bapa untuk memandu dengan lebih selamat," jelas beliau kepada pemberita selepas melancarkan Navigasi Suara Kanak 'Safe Mode Kid' di Tingkat 23, Menara Maxis, KLCC, hari ini.

Menurut beliau lagi, pek suara Safe Mode Kids ini berbeza dengan pek suara khas Waze yang lain yang biasanya menampilkan suara selebriti.

"Safe Mode Kids oleh Maxis menjemput beberapa kanak-kanak untuk menyumbang suara mereka bagi prom arah (directional prompt) dengan peringatan menarik untuk pemanduan selamat.

"Antara peringatan yang menarik dalam pek suara khas ini adalah seperti: All set. Don't forget your seatbelt', 'Re-routing. Eyes on the Road!'dan' Accident reported ahead. Please be careful, ok?"kata Sulin.

Lebih daripada 50 juta pengguna Waze di seluruh dunia dapat mendengar suara kanak-kanak Malaysia yang berusia lima hingga 12 tahun dalam aplikasi navigasi itu.



Menurut Sulin, Safe Mode Kids ini boleh menjadi antara langkah yang menarik dan berkesan untuk mengingatkan rakyat Malaysia memandu dengan lebih selamat memandangkan musim perayaan bakal menjelma tidak lama lagi.

"Mengetahui bahawa Malaysia berada di tempat ke-17 di dunia bagi 'jalan-jalan yang paling berbahaya' , kami mengharap Safe Mode Kids boleh membantu pemandu terutama ibu bapa untuk memandu dengan lebih selamat."

Anda kini boleh memilih pek suara Safe Mode Kids di bahagian tetapan suara aplikasi Waze.