Platform e-dagang, Shopee mengumumkan Pakej Sokongan Peniaga berjumlah RM15 juta untuk 70,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata pakej tersebut untuk menyokong semua peniaganya dengan mewujudkan peluang jualan dan pertumbuhan, mengurangkan kos operasi dan memudahkan pembangunan mampan melalui pembiayaan, subsidi dan pendidikan.

"Pakej itu untuk mewujudkan impak jangka panjang yang positif, walaupun selepas PKP dan kami berharap usaha ini akan membantu PKS tempatan menampung kehilangan pendapatan di luar talian, meningkatkan aliran tunai dan paling penting, mengekalkan perniagaan mereka.

"Selain itu, menjadi harapan kami bahawa pakej ini akan memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kita bersama dalam perkara ini, terutamanya mereka yang akan meraikan Hari Raya tidak lama lagi," kata Ian.

Beliau berkata pakej itu mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh perniagaan susulan perbincangan antara Shopee dan persatuan runcit, dewan perniagaan dan pemilik perniagaan.

"Antara yang telah dikenal pasti ialah PKS yang mencari jualan baharu seperti e-dagang tetapi tidak mengetahui mengenainya, serta jumlah peniaga dalam talian sedia ada yang tinggi yang bergelut dengan kenaikan kos dan kehilangan pendapatan yang ketara daripada jumlah jualan yang rendah," katanya.

Pakej Sokongan Peniaga Shopee dibuka untuk permohonan bermula 13 April hingga 31 Mei, 2020 dan ia mempunyai pelbagai manfaat untuk peniaga tempatan.

Manfaat itu termasuklah subsidi ke atas fi peniaga, sokongan jualan peniaga, pakej pendigitalan, semua manfaat peniaga yang sedia ada dan kursus percuma Shopee University.

Maklumat lanjut mengenai Pakej Sokongan Peniaga Shopee, boleh layari: http://shopee.com.my/supportpackage.

-- BERNAMA