Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini berkesempatan meluangkan masa melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di Pekan, Pahang.

Beliau bertemu dengan penghuni pusat pemindahan berkenaan yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas selain turut memberi kata-kata semangat kepada mereka yang terjejas banjir itu.

Malah, beliau melihat sendiri fasiliti yang disediakan termasuk proses penyediaan makanan kepada penghuni pusat permindahan berkenaan.

Turut mengiringi lawatan beliau adalah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan Exco kerajaan negeri Pahang.

Sekolah menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan itu menempatkan seramai 533 orang daripada 150 buah keluarga yang terjejas banjir yang telah dibuka sejak 25 Disember lalu.

​Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat malam tadi kepada 31,669 orang yang ditempatkan di 256 pusat pemindahan berbanding 31,601 orang pada pukul 8 pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata setakat ini lapan daerah di seluruh Pahang masih terjejas banjir manakala Temerloh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 6,965 daripada 1,585 keluarga.