FESYEN berinspirasikan kepulauan Borneo menjadi platform setiap rekaan usahawan muda, Nurul Hidayati yang sudah tiga tahun dalam dunia fesyen berhijab.

Gadis berusia 24 tahun menjadikan Ramadan sebagai peluang untuk mempromosikan perniagaan butiknya. Nurul mengakui bulan Ramadan merupakan bulan rezeki bagi setiap peniaga.

Bermula dengan berkongsi fesyen di blogger Nurul Cakap Cakap, Nurul mengakui limpahan rezeki di bulan Ramadan amat berbeza. Jualan butiknya sebelum ini dikatakan pernah mencecah RM30,000.

Raya
Usahawan muda, Nurul Hidayati yang sudah tiga tahun dalam dunia fesyen berhijab. -AstroAWANI/NABIHAH HAMID

"Bulan Ramadan ini merupakan bulan untuk umat Islam beribadah tetapi tidak dinafikan juga ia merupakan bulan rezeki kepada setiap peniaga.

"Dalam bulan ibadah. tapi untuk peniaga ini adalah bulan rezeki. jadi untuk fesyen dan butik, inilah bulan sepanjang tahun. Kebiasaannya kita hasilkan 50 pakaian, tapi bulan Ramadhan kita hasilkan 200 hingga ke 500 pakaian. Malah jualan setiap bulan juga meningkat," katanya.

Nurul Wonder Wardrobe, NWW jenama gadis yang berusia 24 tahun ini. Banyak strategi yang diaturnya demi memastikan kelangsungan perniagaannya.

"Kami anjurkan bazar pakaian di butik kami. Di situ ramai peniaga kecil juga boleh membuka gerai mereka. Selain itu banyak aktiviti seni juga dapat dibuat." ujarnya lagi.

Pada usia yang begitu muda, Nurul memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan menerusi blog "Nurul Cakap Cakap". Siapa sangkan bakat anak kelahiran Sabah ini diterima ramai.

Butik
Nurul Wonder Wardrobe, NWW jenama gadis yang berusia 24 tahun ini. -AstroAWANI/NABIHAH HAMID

Misinya sebagai pereka juga amat tinggi. Namun pada permulaan, beliau ingin meluaskan jenama di seluruh negara, seterusnya ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

"Saya punyai cita-cita tinggi dan ingin butik ini berkembang lebih meluas. Tetapi untuk sekarang saya fokuskan di semenanjung Malaysia terlebih dahulu," kata gadis ini dengan penuh semangat.

Hobi gadis ini yang suka mencuba fesyen terbaru dan tidak takut untuk mencuba menjadikan dirinya lebih berani untuk menghadapi cabaran dalam industri itu dalam masa akan datang. Nurul juga gemar menjahit dan melukis.

Pernah mengikuti kursus dalam bidang fesyen selama tiga bulan di Jakarta, Nurul mengakui banyak saingan dalam industri itu.

"Memang banyak saingan, tetapi itu lumrah dalam fesyen dan sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan. Kita hanya perlukan modal RM500 sahaja boleh buat secara kecil-kecilan.

"Dan sebab itu, saya tidak hanya bergantung kepada butik sahaja. Saya turut mengendalikan perniagaan melalui online," tambahnya.

Butik
Kebiasaannya butik Nurul menghasilkan 50 pakaian, tetapi ia meningkat kepada 200 hingga 500 pakaian pada bulan Ramadhan. -AstroAWANI/NABIHAH HAMID

Pengikut Nurul di Instagram mencecah 20,000 pengikut juga menjadi salah satu faktor untuk melariskan jenamanya. Disamping itu gadis kecil molek ini turut memberitahu bahawa beliau sering menyertai bazar jualan pakaian di luar.

"Kita perlu bijak guna pelbagai platform untuk berniaga. Kesempatan seperti membuka gerai di luar juga perlu dimanfaatkan," katanya mengakhiri perbualan.