Hidup ini memang aneh — betapa kemurnian zaman kanak-kanak selalunya hilang tanpa pernah kita sedari begitu kita meningkat dewasa dan pada suatu hari, tanpa pernah terduga, kemurnian itu muncul semula dengan tiba-tiba bagaikan seorang pengembara lelah yang kini pulang mengetuk pintu setelah pergi selama bertahun-tahun tanpa ada khabar berita.
Ajaibnya juga, setelah dewasa — setelah bertahun-tahun meninggalkan dunia kanak-kanak yang penuh kejujuran dan tanpa dosa; meninggalkan dunia yang sarat dengan impian, harapan dan cita-cita, kita hampir tidak pernah sedar bahawa kita sebenarnya telah kehilangan sekurang-kurangnya satu kemampuan paling hebat yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia iaitu daya untuk berkhayal — daya untuk membayangkan seribu satu kemungkinan tanpa batas.
Tidak semua orang dapat mengkhayalkan suatu kemungkinan atau sebuah dunia yang lain seperti seorang kanak-kanak. Setiap kali kita dihadapkan dengan kemungkinan untuk menggunakan daya khayal, umumnya setiap kali itu kita akan gagal.
Gagal
Malangnya, kita jarang menyedari akan kegagalan itu — sama sepertimana kita jarang menyedari bahawa kita telah hilang sebahagian daripada diri kita sendiri iaitu diri kita yang kanak-kanak.
"Semua orang dewasa pada mulanya adalah kanak-kanak tetapi hanya sedikit daripada mereka yang ingat," begitu tulis Antoine de Saint-Exupéry dalam bukunya, Putera Kecil atau Le Petit Prince yang cukup popular itu.
Pada suatu ketika, buku itu begitu popular sehingga ada pengkritik yang mencatatkan bahawa inilah buku yang dibaca oleh banyak orang di dunia selepas Al-Quran dan Bible. Le Petit Prince telah terjual lebih daripada 140 juta naskhah dan diterjemahkan ke dalam lebih 200 bahasa di seluruh dunia, termasuk ke dalam braille. Setakat yang saya tahu, ia belum diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Nota Pengarang: Untuk perhatian Institut Terjemahan dan Buku Malaysia).
Kalau ke kedai buku, kita akan berjumpa dengan buku ini yang diletakkan di sudut buku kanak-kanak. Ia memang sebuah buku yang pada mata kasarnya dilihat ditulis untuk kanak-kanak. Tebalnya hanya sekitar 100 halaman. Ia dihiasi dengan lebih kurang 40 ilustrasi. Bahasanya mudah, ayat-ayatnya tidak bertele-tele. Ia sebuah dongeng dan bukan sebuah karya sastera yang berat.
Tetapi jangan mudah terpedaya dengan bentuk dan penampilan buku kecil ini. Pada lapis kedua atau lapis-lapis berikutnya, ia sebuah buku yang sebenarnya ditulis untuk orang dewasa. Penulis Perancis itu memang mengabdikan bukunya kepada "anak yang kemudian menjadi orang dewasa".
Sulit
Ya, begitulah kita. Setiap seorang daripada kita pernah jadi kanak-kanak dan pernah melalui sebuah zaman yang penuh dengan kemurnian — jujur, sempurna, bersih dan tanpa dosa; sebuah zaman ketika mana segala-galanya serba mungkin. Segala-galanya.
Tetapi begitu kita menganjak dewasa, segala-galanya jadi rencam, sulit dan serba tidak boleh. Kita hilang kemurnian sebagai seorang manusia. Kita hilang kejujuran dan selalu berpura-pura — kepada diri sendiri, kepada orang lain, kepada masa lalu dan juga kepada masa yang belum tiba. Kita hilang daya untuk mencuba. Kita hilang kemampuan untuk membentuk kemungkinan. Kita hilang keberanian untuk mencabar diri sendiri.
Pemikiran kita dibentuk oleh petak-petak yang kita bangunkan dalam kepala kita sendiri — petak-petak yang menjadi kendala kepada setiap gerak dan langkah. Semua lereng bukit dan lembah jadi terlalu curam. Semua dasar sungai dan kolam jadi terlalu dalam.
Sesal
Kita tidak lagi menjadi kanak-kanak. Kita terlupa melihat dunia dengan sorot mata kanak-kanak yang menerobos lepas bebas tanpa sempadan. Setiap gerak disukat, setiap langkah diselidik, setiap tindak dihitung untung ruginya.
Benarlah apa yang pernah ditulis oleh penyair, penulis esei dan tokoh wartawan terhormat Indonesia, Goenawan Mohamad dalam kolum mingguannya di majalah Tempo: "Putera Kecil sebenarnya sebuah penyesalan. de Saint-Exupéry menyesali hilangnya sebuah dunia di mana imaginasi bebas jadi paradigma."
Imaginasi yang bebas itu tidak akan tumbuh subur jika kita tidak kembali menjadi kanak-kanak — kembali kepada kemurnian dalam fikir dan renung serta membiarkan khayalan menerawang tanpa batas. Selebihnya, khayalan tidak akan datang tanpa jiwa merdeka.
Khayalan akan datang kalau kita mengerti apa yang penting dalam hidup ini sebenarnya adalah hal-hal yang tidak dilihat oleh mata kasar, seperti yang dikatakan oleh sang rubah kepada Putera Kecil. "Kau hanya boleh melihat jelas dengan hatimu. Hal yang penting tak terlihat oleh mata," kata sang rubah.
Rubah itu menyebutnya sebagai rahsia; ertinya, ia bukanlah suatu hal yang diketahui oleh semua orang — sepertimana tidak semua orang boleh melihat seekor gajah yang ditelan bulat-bulat oleh ular pembelit dan sekarang tidur selama enam bulan untuk mencernanya.
Tetapi bukan semua dewasa tidak berkhayal. Dunia ini tidak mungkin jadi begini seperti sekarang ini kalau tidak ada manusia yang berkhayal — pemimpin yang menggerakkan massa dengan pidato "Saya ada impian"; pencipta revolusioner yang tidak mahu hidupnya ditentukan oleh orang lain malah sebaliknya — selepas iPhone dan iPad — dialah yang mencorakkan hidup kita; jutaan arkitek yang membangunkan kota, jutaan seniman yang membangunkan jiwa dan seterusnya.
Apakah yang ada pada semua manusia pengkhayal masa depan ini? Jiwa bebas merdeka; kemurnian kanak-kanak yang kekal dalam diri seorang dewasa.
Noor Azam Shairi
Wed Feb 06 2013
Ahmad Nawab, seniman sepanjang zaman - Datuk Habsah Hassan
Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab diingati sebagai seorang komposer yang memahami selera masyarakat dan sentiasa mengikuti arus perubahan muzik sejak era 50-an hingga kini.
Penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan, menyifatkan kemampuan Allahyarham menyesuaikan karya dengan pelbagai era, termasuk era Saloma, Sharifah Aini, dan Jamal Abdillah, sebagai faktor kejayaan karya-karyanya.
Penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan, menyifatkan kemampuan Allahyarham menyesuaikan karya dengan pelbagai era, termasuk era Saloma, Sharifah Aini, dan Jamal Abdillah, sebagai faktor kejayaan karya-karyanya.
Semangat, kreativiti Ahmad Nawab disanjung tinggi
Semangat dan kreativiti Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab dikongsi sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan oleh komposer muzik,Datuk Wah Idris.
[TERKINI] Legenda muzik Ahmad Nawab selamat dikebumikan
Tan Sri Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur.
Kes Faisal Halim diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman
"Pasukan ini mempunyai kepakaran dan peralatan bantuan yang lebih baik bagi mengenal pasti dan menangkap suspek yang terlibat."
Jabatan Imigresen mohon Skim KP hingga Jusa Gred B
Jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution begitu juga bilangan penjawatan lain diperluaskan kepada strategik lain seperti Pengarah Negeri dan Pengarah Bahagian serta Atase Imigresen.
Perkembangan pengebumian jenazah Tan Sri Datuk Seri Ahmad
Pengebumian jenazah Tan Sri Datuk Seri Ahmad Nawab di Tanah Perkuburan Raudathul Sakinah.
Google Tasks kini diintegrasi sepenuhnya dalam Google Calendar
Ia mengintegrasikan Tasks sepenuhnya ke dalam Calendar membenarkan pengguna melakukan perkara sama yang ada dalam aplikasi Tasks sendiri.
Pelarian di Sudan gigih cari rezeki dengan manisan
Golongan wanita berpeluang mempelajari kemahiran membuat manisan untuk mendapatkan makanan dan menjana pendapatan.
Lawatan kerja PM: Tiga MoU dimeterai antara Malaysia-Korea
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan negara di Istana Presiden Yongsan untuk bertemu Presiden Yoon Suk Yeol pada Isnin.
Perkhidmatan feri Pulau Pinang alami kerugian tahunan RM14 juta
Kos perkhidmatan feri di Pulau Pinang melebihi jumlah kutipan tiket, menyebabkan kerugian tahunan sekitar RM14 juta.
Tentang Putera Kecil yang hilang
Apakah yang ada pada semua manusia pengkhayal masa depan ini? Jiwa bebas merdeka; kemurnian kanak-kanak yang kekal dalam diri seorang dewasa.