Apatah lagi, hanya baru 2 bulan lepas kita masih belum lagi pulih daripada mendengar berita dua beradik lelaki, masing-masing di tahun 2 dan 4, memaksa rakan mereka yang baru memasuki alam persekolahan iaitu di tahun 1, melakukan seks oral, setelah kanak-kanak lelaki itu menonton aksi sedemikian di laman web lucah di komputer. Amat mengejutkan juga bahawa komputer yang digunakan adalah di makmal komputer sekolah.
Ini turut mengguris parut luka lama mengingati satu kes yang mendapat perhatian ramai di tahun 2001, di mana dilaporkan dua pelajar lelaki sekolah rendah dijumpai melakukan aksi oral seks, dan mereka menceritakan kepada guru bahawa aksi tersebut ditiru daripada sebuah video lucah yang ditonton bersama-sama ibu bapa.
Di mana silap kita?
Terdapat banyak peringkat di mana kita harus memeriksa kembali banyak perkara termasuk sistem pendidikan kita dan ia memerlukan kertas kerja yang panjang. Dalam kesempatan terhad ini, biarlah kita mulakan dengan peranan yang paling penting dan paling mengakar umbi; iaitu peranan ibu bapa.
Prinsip asas tarbiah anak-anak
Menurut kes-kes yang dibentangkan, adalah jelas anak-anak di peringkat sekolah rendah mudah meniru apa yang mereka lihat. Kalau dahulu, televisyen menjadi sumber utama, diikuti dengan lambakan cakera padat (CD) lucah, kini akses melalui talian internet dan telefon pintar menjadi satu sumber yang teramat sukar dikawal.
Klip-klip video pendek melalui laman perkongsian video hiburan seperti Youtube atau Metacafe menjadi rujukan anak-anak. Tambahan pula dengan teknologi terkini melalui perisian Android di telefon pintar, ‘Tablet’ atau ‘Ipad’, memudahkan aplikasi ini dicapai dengan segera.
Dengan perkembangan di atas, yang juga memudahkan orang dewasa mengakses lebih banyak portal berunsur hiburan, adalah penting bagi ibu bapa menghayati kembali prinsip pendidikan atau tarbiyah kepada diri sendiri.
A) Menapis apa yang ditonton – menjauhi zina mata
Ibu bapa harus mengetahui bahawa terdapat apa yang dikatakan sebagai zina mata atau melihat kepada sesuatu yang berunsurkan maksiat. Zina mata atau “Lahadhat” bukan hanya sekadar memandang, malah diikuti dengan pandangan selanjutnya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad, Rasulullah SAW telah bersabda kepada Saidina Ali yang bermaksud:
”Wahai Ali, janganlah kamu mengikuti pandangan yang pertama (terhadap wanita yang bukan mahram) dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya pandangan pertama itu bagi kamu (diharuskan), tetapi kamu dilarang daripada pandangan yang kedua (iaitu terus memandang kepada wanita yang bukan mahram sehingga boleh menimbulkan syahwat)”.
Di dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda:“Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan begitu juga perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain, dan tidak boleh seorang lelaki bercampur dengan lelaki lain dalam satu selimut, dan begitu juga perempuan dengan perempuan yang lain bercampur dalam satu selimut.”
Soft pornography dan hard pornography
Ibu bapa dalam hal ini perlu maklum bahawa sebarang bentuk pornografi, yang ditakrifkan sebagai “sebarang bahan yang memaparkan secara jelas alat kelamin atau perlakuan seksual, bagi membangkitkan nafsu syahwat” adalah HARAM.
Budaya Barat cuba mengkategorikan pornografi kepada bentuk soft pornography dan hard pornography sebagai kriteria pengkelasan untuk filem-filem tontonan umum dan untuk tonto nan mereka di bawah umur, tetapi bagi kita umat Islam, kedua-dua bentuk itu adalah haram sama sekali.
Hard pornography adalah naskah filem atau klip atau majalah (juga komik) yang secara terang-terangan menggambarkan aksi seksual atau alat kelamin secara nyata.
Yang lebih bermaharajalela di kotak televisyen kita ialah soft pornography atau aksi memberahikan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat.
Kategori kedua ini walaupun tidak menunjukkan secara nyata aksi hubungan seksual, tetapi ia turut bertujuan membangkit nafsu syahwat melalui iklan-iklan oleh model yang berpakaian separuh bogel dan video-video klip hiburan yang memaparkan aksi tarian yang menghairahkan.
Saya tidak segan silu mengatakan sebahagian filem-filem tempatan kita dan sesetengah rancangan drama tempatan sudah pun memasuki kategori soft pornography, dan jika tidak dibendung, ia menjadi sesuatu yang diterima norma masyarakat.
Sekiranya ibu bapa dapat mengawal disiplin diri dengan ketat untuk tidak menonton perkara-perkara ini, dan menjadikan rumah kita kawasan larangan dari kemasukan bahan-bahan ini, sebagai contoh mengawal rancangan TV yang kita sendiri tidak wajar tonton, dan tidak membeli CD atau VCD hiburan berbentuk sedemikian, insya Allah sekurang-kurangnya anak kita tidak terdedah kepada bahaya sedemikian di dalam rumah kita sendiri.
Ingatlah, anak-anak kita masih muda dan umpama tunas yang perlu dijaga sebaiknya. Kajian telah membuktikan bahawa akses kepada bahan pornografi ini membentuk jiwa anak-anak ke arah ketagihan kepada menonton dan seterusnya perlakuan seksual itu sendiri.
Dari sudut perubatan, ketagihan seks mengganggu fungsi otak frontal. Otak frontal berperanan dalam membentuk kemahiran mereka menghujah (reasoning) dan memberi rasional sesuatu perkara, keupayaan menetapkan sesuatu matlamat diri, dan disiplin diri yang tinggi.
Dari segi kejiwaan, anak-anak ini dibelenggu rasa bersalah dan jiwa merasa kacau, tetapi mereka tetap ketagihan. Mereka belum kuat untuk menepis imej-imej yang sentiasa menghantui mereka.
Maka kasihanilah anak-anak kita. Bentuklah disiplin diri yang tinggi dalam diri kita ini untuk menjauhi dosa mata, yang bukan sahaja mendatangkan dosa pada kita malah berupaya menghancurkan masa depan anak-anak.
B) Asas didikan anak-anak menurut ajaran Islam
Setiap ibu bapa harus membekalkan diri dengan ilmu pendidikan anak-anak mengikut acuan Islam yang sebenarnya. Islam menentukan adanya dosa dan pahala. Bahkan taklif itu adalah ke atas orang dewasa yang telah baligh.
Acuan peradaban Barat sebaliknya menetapkan sesuatu perkara benar atau salah mengikut umur, anehnya filem 18SX itu halal untuk dewasa. Bagaimana boleh perkara haram yang dinikmati oleh orang dewasa dapat dikekang daripada sampai kepada anak-anak?
Antara rujukan pendidikan anak-anak yang terbaik ialah buku bertajuk Tarbiyatul Aulad karangan Ustaz Abdullah Nasih Ulwan. Berdasarkan Al Quran dan hadis Rasulullah SAW, beliau menggariskan empat asas pembentukan iman dalam mendidik anak-anak:
1) Memulakan pengenalan anak dengan kalimat “Laa Ilaaha Illallah”
Berdasarkan hadeeth diriwayatkan oleh Al-Hakim daripada Ibn Abbas r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Mulakan pengenalan kalimat “Laa Ilaaha Illallah” kepada anak-anak kamu.”
Rahsianya ialah supaya kalimat tauhid itu, serta syiar kemasukannya dalam Islam, adalah yang awal mengetuk pintu telinga, yang mula-mula dilafazkan oleh lisan dan yg mula-mula difahami perkataan”.
2) Mengenalkannya pada masa dia mula berakal akan hukum halal dan haram
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir dan Ibn Munzir daripada Hadis ibn Abbas bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Bekerjalah dengan taat kepada Allah, dan jauhilah maksiat-maksiat terhadap Allah, dan suruhlah anak2 kamu supaya menurut perintah dan menjauhi larangan, maka itulah pemeliharaan diri kamu dan diri mereka daripada api neraka.”
3) Menyuruhnya mula beribadat sejak berusia 7 tahun, sebagaimana riwayat Al-Hakim dan Abu Daud drpd Ibn Amru bin Al-Ash bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia 7 tahun, dan pukullah dia kerana tidak bersembahyang pada usia 10 tahun, dan pisahkan mereka dari tempat tidur.”
4) Mendidiknya supaya mencintai Rasulullah SAW dan mencintai keluarga Rasulullah SAW, serta membiasakan diri dengan membaca Al-Quran, sebagaimana riwayat at-Thabarani drpda Ali bin Abu Thalib karamallahuwajhah, bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Ajarkanlah anak-anak kamu 3 perkara: Mencintai Nabi kamu, mencintai keluarganya serta membaca Al-Quran. Sebab para pembaca Al-Quran berada di sisi Arasy Allah bersama-sama para anbiya’Nya dan ashfiya’Nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan Allah saja.”
Saya sebenarnya tertarik kepada poin 2 yang menjadikan mengenalkan hukum halal haram kepada anak-anak suatu asas penting dalam pendidikan mereka.
Ini kerana acapkali saya mendengar pendapat yang mengatakan perkara haram dan perkara dosa tidak perlu diperkenalkan awal kepada anak-anak.
Kepincangan ini kita dapati melahirkan ramai ibu bapa yang mendidik anak-anak darihal solat dan puasa, tetapi tidak mengambil berat darihal perkara yang dikategorikan sebagai haram seperti melihat pelakon berpakaian seksi dari filem-filem, meniru perlakuan tersebut, aspek pakaian dan adab pergaulan lelaki dan wanita yang sewajarnya ditanam awal sejak dari kecil, walaupun taklif dosa belum jatuh kepada anak-anak.
Cuba kita lihat ketelitian ulama terdahulu dalam pendidikan anak-anak mereka:
Al-Jahizh telah meriwayatkan bahwasanya ketika ‘Uqbah bin Abi Sufyan menyerahkan anaknya kepada seorang guru, ia mengatakan,
“Hendaklah yang pertama kali Engkau lakukan untuk memperbaiki anakku adalah memperbaiki dirimu sendiri, karena penglihatan mata mereka adalah tertumpu pada penglihatanmu; apa yang baik pada mereka adalah apa yang menurutmu dianggap baik, dan yang jelek pada mereka adalah apa yang menurutmu dianggap jelek.
Ajarkanlah kepada mereka biografi orang-orang bijak dan akhlak orang-orang berbudi; ancamlah mereka dengan diriku dan didiklah mereka tanpa membandingkan diriku; jadilah engkau seorang doktor yang tidak memberikan ubat sampai mengetahui penyakit yang diderita; janganlah engkau membatasi dirinya hanya kepada sesuatu yang tidak bisa aku lakukan, kerana sesungguhnya aku telah mempercayakan sepenuhnya akan anakku.” (Tarbiyatul Aulad fil Islam, Abdullah Nasih Ulwan)
C) Ibu bapa menguasai teknologi terkini dan menjadi lebih pintar berbanding gajet pintar
Saya pernah mendengar maklum balas seorang pembaca yang mengatakan, “ajar sahaja anak-anak kita al- Quran, nescaya selamat”. Saya merasakan ibu bapa perlu ilmu yang lebih luas dalam membentuk kemahiran pendidikan anak-anak di zaman ini.
Ibu bapa perlu terkedepan dalam mengetahui perkembangan teknologi atau sekurang-kurangnya mempunyai tahap pengetahuan yang sama dengan anak-anak. Jangan terlalu ketinggalan lantaran kita memandang negatif kemajuan teknologi. Seperti pisau, kemajuan teknologi ada sisi baik dan ada sisi buruknya.
Sebuah kajian di Indonesia pada tahun 2008 menyiarkan fakta bahawa 67% dari responden kanak-kanak telah pun terdedah kepada bahan pornografi melalui internet, permainan komputer dan komik.
Sebahagian besar dapat mengakses kepada bahan-bahan tersebut daripada gajet pintar yang dihadiahkan oleh ibu bapa, kebanyakannya sebagai simbol prestij.
Ibu bapa mungkin perlu mengkaji semula hadiah yang sesuai kepada anak-anak, kerana telefon pintar, atau Ipad yang tidak dibekalkan dengan talian internet, masih boleh digunakan oleh mereka tanpa pengawasan kita di premis-premis yang menyediakan wifi percuma.
Timbanglah buruk baik penggunaannya dan tidak perlu kita tertekan dengan orang lain yang menjadikannya sebagai satu lagi status masyarakat.
Saya tidak menafikan anak-anak remaja kini terpaksa melakukan tugasan yang memerlukan penggunaan internet, maka untuk mengharamkan penggunaan internet dan laman sosial adalah sama sekali tidak munasabah.
Saya mencadangkan beberapa perkara yang dapat kita lakukan bagi memantau anak-anak:
1. Meletakkan komputer di kawasan awam seperti ruangan keluarga, bukan di bilik anak-anak. Mudah untuk kita mengawasi. Kurangnya privasi di ruangan ini menghalang anak-anak meneroka terlalu lama, laman-laman web yang mencurigakan, sekiranya mereka terserempak dengannya.
2. Mengadakan akaun untuk setiap anak-anak dan menghadkan penggunaan mereka selama 2 atau 3 jam bergantung kepada umur mereka. Bagi anak-anak saya, mereka dibenarkan mempunyai kata laluan sendiri, tetapi masa penggunaan komputer telah saya tetapkan.
3. Menggunakan ‘software’ penapisan laman web seperti Net Nannyyang boleh digunakan bagi menghalang anak-anak mengakses laman web lucah dan banyak lagi laman picisan hiburan. Harga ‘software’ ini dalam lingkungan RM 100-200 setahun tetapi pelaburan yang berbaloi mengambil kira kemajuan teknologi yang tak dapat dielakkan.
4. Pengawasan dan pencegahan amat penting untuk anak-anak. Sehubungan itu saya berterus terang dengan anak-anak sebagai ibu dan ‘admin’ saya berhak meneliti sejarah penggunaan komputer mereka. Dari semasa ke semasa saya akan buat pemeriksaan mengejut untuk melihat laman yang telah mereka akses.
5. Bagi telefon pintar dan Ipad, sebolehnya adakan kata laluan, dan awasi penggunaan Youtube yang digemari anak-anak. Adakalanya, filem-filem yang berunsur pornografi telah dimuat naik ke dalam Youtube sepenuhnya.
6. Akhir kata, banyakkan berdoa agar Allah memelihara anak-anak kita dalam keadaan di mana kita tidak berupaya mengawasi mereka seperti di luar rumah. Kepada Allah kita bertawakkal selepas kita berusaha.
Ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak memerhatikan kita.
Kelekaan kita dengan gajet pintar juga mungkin memberi mesej yang salah kepada mereka, bahawa berlama-lamaan dengan gajet adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan, dan bukannya berinteraksi sesama sendiri. Sebaiknya perlakuan kita menjadi suatu contoh yang diteladani dan diingati anak-anak kita seberapa lama yang boleh.
Cuba lihat bagaimana Ibn Abbas meriwayatkan melalui Imam Bukhari di mana beliau mengingati contoh baik yang ditunjukkan sewaktu usianya masih kecil:
“Aku bermalam di rumah bibiku, Maimunah dan melihat Rasulullah SAW bangun. Setelah berada pada sebahagian malam, beliau bangun dan berwudhu ringan dengan air dari dalam kantung kulit yang digantung di dinding kamarnya. Setelah itu, beliau pun mengerjakan solat malam. Aku pun ikut bangun dan berwudhu dari tempat air yang digunakan oleh beliau. Kemudian aku berdiri solat di samping kiri beliau, lalu beliau memindahkanku ke samping kanannya…”
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita ISMA
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
**Artikel ini pertama kali diterbitkan di http://www.ismaweb.net/v4/2013/12/anak-kecil-mudah-akses-bahan-porno/
**Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.