Kebangkitan Rakyat Bantah Diktator
Banyak perkara pelik berlaku di Iraq kebelakangan ini. Namun yang paling menarik perhatian ialah kenyataan Perdana Menterinya, Nouri Al-Maliki. Beliau memberi amaran bahawa gejala kepuakan boleh kembali berleluasa di Iraq. Berucap ketika menghadiri sambutan Hari Wanita Sedunia, Al-Maliki berkata, " Masih wujud segelintir pihak tertentu yang mahu mencetuskan api fitnah dan semangat kepuakan. Gejala ini akan kembali tercetus di negara kita".

Perdana Menteri Iraq Nouri Al-Maliki

Revolusi
Kepelikan yang saya maksudkan di sini ialah Al-Maliki sendiri adalah pemimpin yang mengemudi pentadbiran dengan sistem pemerintahan kepuakan. Parti-parti dan pemikiran yang mengusulkan perpaduan segenap lapisan masyarakat disingkirkan daripada persada politik. Malah, beliau memerangi dan menutup kebangkitannya melalui pelbagai cara. Demokrasi yang terbentuk dimusnahkan. Perdana Menteri Iraq ini diberi tempoh lebih 5 tahun untuk menubuhkan sebuah sistem demokrasi matang yang sepatutnya mampu menerima kepelbagaian dan mengatasi pemikiran kepuakan. Bagaimanapun, peluang itu telah disia-siakan apabila beliau hanya menerima partinya, individu-individu rapat di sekelilingnya dan juga segelintir militia Syiah yang sanggup membentuk kerjasama. Al-Maliki juga mengamalkan polisi usir, asing dan singkir sesiapa sahaja yang berpandangan berbeza sehingga membabitkan individu partinya sendiri. Natijahnya, tercetuslah revolusi besar-besaran yang bangkit menentangnya dari seluruh pelusuk negara, terutamanya di bahagian utara dan tengah.


Plihan Raya Parlimen
Pilihan raya parlimen baru-baru ini memberi harapan baru kepada jutaan rakyat Iraq untuk mencapai perdamaian dan perpaduan. Ia juga diharap dapat menjadi pemangkin bagi memperbaiki kerosakan dan kelemahan dalam proses politik yang berlaku hasil daripada penjajahan Amerika Syarikat. Oleh sebab itu, pilihan raya kali ini disertai oleh kumpulan yang pernah memboikot pilihan raya sebelumnya. Kita juga saksikan buat pertama kali wujudnya pakatan parti yang anti kepuakan. Namun Al-Maliki dan parti pimpinannya dipercayai melakukan penipuan dalam proses demokrasi berkenaan melalui pentafsiran perlembagaan yang sama sekali tidak boleh diterima dan tidak mengikut saluran undang-undang. Beliau terus berkuasa dan menyisihkan semua musuh dan pesaing, sekaligus mentadbir negara mengikut kehendaknya.

Demonstrasi di Iraq
Reaksi
Kebangkitan rakyat secara berterusan di beberapa kawasan tengah negara berkenaan, khususnya Al-Anbar, membayangkan bantahan dan reaksi mereka terhadap pentadbiran Al-Maliki. Mereka menentang kepimpinan kuku besinya yang dilihat gagal menyediakan taraf kehidupan yang baik dan kemudahan asas yang sewajarnya kepada 25 juta rakyat Iraq. Iraq di bawah kepimpinan Al-Maliki menjadi sebuah negara yang berpecah-belah dan rosak. Segala identiti yang boleh menyatu-padukan rakyat digantikan dengan elemen kepuakan semata-mata. Ia sekaligus meranapkan harapan untuk mewujudkan kehidupan penuh toleransi dalam kalangan rakyat yang mempunyai pelbagai latar belakang kaum, aliran dan mazhab.

Selepas pemerintahan Al-Maliki, Iraq menduduk tempat kelima dalam senarai negara paling tinggi kadar rasuah. Iraq yang mengeluarkan 3 juta tong minyak sehari, penduduknya hanya dapat menikmati kemudahan bekalan elektrik cuma 4 jam sehari. Kadar pengangguran dalam kalangan belia pula dilaporkan meningkat lebih 20 peratus. Keruntuhan politik dan masalah kemudahan asas yang dihadapi ”Iraq Baru” adalah tanggungjawab Al-Maliki dan pemikiran kepuakan yang didokong sebagai dasar pemerintahan. Oleh sebab itu, kebangkitan yang berterusan sejak beberapa bulan lepas adalah sesuatu yang relevan dan masuk akal bagi senario politik Iraq. Apatah lagi ia melaungkan slogan "tidak" kepada kepuakan selain menuntut penyatuan Iraq.


Mesej
Al-Maliki memuji penunjuk perasaan di Anbar yang bertindak mengoyak peta pembahagian negara berdasarkan kepuakan. Walhal, beliau sendiri yang menggalakkan intipati peta berkenaan dan menyebabkan Iraq terjebak ke dalam kancah kepuakan yang serius. Malah, polisi luar negaranya juga sama sehingga menyebabkan Iraq terasing daripada negara-negara Islam dan Arab serantau.

Apabila pemimpin ulama Syiah, Moqtada Al-Sadr menuduh Al-Maliki sebagai diktator dan taghut, manakala bekas Perdana Menteri, Iyad Allawi menuduhnya lebih diktator berbanding Saddam Hussein, ia merupakan mesej yang amat jelas dan kuat kepada Al-Maliki bahawa hari-harinya untuk berundur semakin hampir.