Berita paling mengejutkan sepanjang minggu ini tidak lain sudah pasti pengumuman pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson yang bersara akhir musim 2012/2013.

Keputusan itu dianggap sesuai dengan kejayaan Ferguson memberikan United gelaran liga Inggeris buat kali ke-20.

Malah sejak diperkenalkan pada musim 1992/1993, Ferguson telah memenangi saingan yang kini diberi nama Barclays Premier League (BPL) sebanyak 13 kali, pencapaian terbaik dalam sejarah pengurusan di Britain.

Beliau kini akan meneruskan tugas belakang tabir iaitu sebagai pengurus dan juga duta United.

Kini pengurus Everton, David Moyes bakal menjadi tumpuan selepas sah menandatangani kontrak 6 tahun bersama United.

Pemilihan Moyes juga dilaporkan atas cadangan Ferguson sendiri yang meminati gaya pengurusan pengendali kelahiran Bearsden, Scotland itu.

Benar, Moyes tidak memenangi apa-apa trofi sepanjang 11 tahun bersama The Toffees, tetapi saya yakin beliau mampu mencipta era yang tersendiri dengan United.

Ini kerana dengan sumber kewangan yang terhad di Everton, Moyes berjaya membentuk pasukan itu menjadi satu unit yang mantap dan mengatasi jiran Merseyside, Liverpool musim lepas dan kemungkinan dapat mengulangi pencapaian itu sekali lagi musim ini.

Seperti juga penghijrahan mana-mana pengurus, mereka pastinya dikaitkan dengan pemain di kelab lama mereka.

Lantas tidak mengejutkan jika Moyes ingin membawa masuk Marouane Fellaini dan Leighton Baines sebagai muka baru di Old Trafford.

Sementara nasib penyerang United, Wayne Rooney pula masih belum pasti apabila dia mungkin meninggalkan kelab itu musim panas ini.

Hasrat Rooney untuk berhijrah dikatakan sudah bermain di fikiran pemain antarabangsa England itu beberapa minggu lalu.

Malah Ferguson juga dilaporkan sudah mengetahui permintaan Rooney tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Selain itu, Rooney juga mempunyai perselisihan faham dengan Moyes kerana pengendali pernah membuat tuntutan mahkamah terhadap pemain berusia 27 tahun itu.

Ia susulan tindakan Rooney yang mendedahkan butiran perpindahannya ke United pada 2004 dalam buku biografinya.

Tugas pertama Moyes selepas ini ialah menentukan masa depan Rooney, sama ada memujuk pemain itu untuk terus kekal atau pun sudah tiba masanya buat Rooney berkelana ke pasukan lain dengan Chelsea jadi pilihan.

Apa pun, semua peminat United kini perlu bersabar dan berikan masa kepada Moyes untuk menentukan sendiri hala tujunya bersama United.

Di peringkat sukan tempatan pula, kurang daripada 50 hari lagi temasya Sukan Malaysia ke-16 akan dilangsungkan di Kuala Lumpur.

Majlis Sukan Negara (MSN) sekali lagi menjalankan tanggungjawab sebagai tuan rumah dengan kira-kira 5,000 atlet dan pegawai dijangka turut serta.

MSN kali ini membuat persiapan awal dengan menyediakan laman web rasmi bagi temasya berkenaan yang menelan belanja kurang daripada RM9 juta, sama seperti edisi sebelumnya di Kuantan, Pahang.

Selain itu, MSN turut menyediakan bilik sekretariat Sukan Malaysia, Pusat Media Utama serta memperkenal Sistem Mesyuarat Pendaftaran Pra-Delegasi.

Bagi peminat yang ingin mengikuti perkembangan Sukan Malaysia, boleh layari www.sukanmalaysia.nsc.gov.my