Dalam satu tinjauan Astro AWANI setelah selesai acara perarakan, rakyat Malaysia dan juga pelancong yang ditemui teruja dengan semangat tinggi yang dipamerkan orang ramai.
Seorang ahli perniagaan, Satees, menyeru agar rakyat Malaysia terus bersatu, terutama sekali susulan tragedi MH370 dan MH17.
“Saya menyeru agar orang ramai untuk menggunakan hari ini sahaja untuk ke Dataran Merdeka atau keluar beramai-ramai. Kita sudah lalui saat yang sukar jadi inilah peluang untuk bersatu,” kata beliau.
Jejaka berusia 23 tahun itu ke Dataran Merdeka untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan anggota polis yang mengambil bahagian ketika acara perarakan.
“Rugi saya datang lambat. Tetapi saya sempat jumpa mereka dan selfie bersama mereka. Hari ini hari yang menyeronokkan,” jelasnya.
Haleef Chong Chee Seoong, 41, berkata rakyat Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi.
“Ia adalah satu titik perubahan. Hidup harus diteruskan,” jelas beliau ringkas sambil ditemani ahli keluarga yang lain.
Isteri beliau, Roszelin Mohamed, 41, berkata anak beliau yang berusia tujuh tahun yang ingin ke Dataran Merdeka.
“Inilah kali pertama kami ke sini itu pun kerana anak saya yang berusia tujuh tahun yang memaksa kami. Beliau ingin lihat dan tahu tentang acara perarakan,” jelas Roszelin.
MERDEKA! Satees (kiri), Hafizah (atas), Roszelin dan Haleef (bawah) terhibur dengan acara perbarisan.
Hafizah Kamarudin, 31, berpendapat acara seperti ini merupakan satu platform yang baik untuk bangkit dari kesedihan yang melanda negara baru-baru ini.
“Kita tidak boleh jatuh. Kita perlu tingkatkan semangat kita dan acara ini merupakan platform terbaik untuk itu,” jelas beliau.
Hifazah, yang bertugas di sebuah agensi kerajaan, turut ditemani anak beliau yang berusia enam tahun yang ingin melihat persembahan Upin dan Ipin.
“Ini adalah pertama kali saya ke sini. Anak saya mahu melihat Upin dan Ipin. Oleh kerana saya pun tidak ada apa-apa rancangan lain, jadi saya bawa dia ke sini.
“Dia pun seronok. Ini merupakan pendedahan yang terbaik untuk kanak-kanak,” kata beliau.
SERONOK! Wong (kiri), West (tengah) dan Phipps (kanan) memberi sokongan kepada rakyat Malaysia.
Sementara itu, beberapa warga asing yang ditemui turut teruja dengan semangat positif yang ditampilkan oleh rakyat Malaysia.
Graham Phipps, 25, dan Alice West, 23, yang tiba dari England pada hari Khamis, berkata orang Malaysia kelihatan positif dari wajah mereka.
“Ia tidak menjejaskan mood hari ini.
“Seronok melihat negara Malaysia meletakkan usaha yang keras untuk menjayakan acara ini,” kata mereka.
Jelas Phipps dan West, mereka sudah merancang untuk ke Malaysia sebelum tragedi MH17 namun tidak ada niat untuk membatalkan percutian mereka ke sini.
“Ia adalah satu tragedi dan boleh berlaku kepada mana-mana penerbangan. Kami akan terus menyokong Malaysia Airlines,” kata mereka.
Seorang warga China yang kini menetap di Kuala Lumpur, Wang Yong Liang, 27, berkata acara perarakan begitu bagus.
“Walaupun tragedi MH17 dan MH370 baru berlaku, tetapi hari ini penting untuk menyatukan rakyat Malaysia semula.
“Saya lihat rakyat Malaysia begitu gembira hari ini dan acara hari ini memang bagus,” kata beliau yang sudah tiga bulan menetap di Malaysia.