Tiada tindakan akan diambil terhadap bekas hos Top Gear, Jeremy Clarkson selepas semua keterangan diambil termasuk semua saksi yang terlibat.

Polis North Yorkshire mengeluarkan kenyataan terbaru mengenai insiden Clarkson menyerang dan mencederakan penerbit rancangan itu, Oisin Tymon di laman web rasmi mereka.

Dalam kenyataan itu, Tymon tidak mahu polis mengambil tindakan susulan terhadap Clarkson bagi pihaknya.

Bagaimanapun polis tetap menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan saksi kejadian yang mungkin terkesan akibat insiden itu.

Namun selepas semua keterangan diambil, tiada tindakan susulan akan diambil terhadap Clarkson dan kes ini dianggap selesai.

Kenyataan polis North Yorkshire di laman web rasmi www.northyorkshire.police.uk

Dua minggu lepas Top Gear menjadi salah satu topik yang trending di Twitter selepas British Broadcasting Corporation (BBC) mengumumkan pemecatan Clarkson.

Orang ramai menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang dibuat BBC kerana menganggap Clarkson amat sinonim dengan rancangan automotif Top Gear.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BBC, kontrak Clarkson tidak akan disambung selepas beliau didapati menyerang Tymon secara fizikal, walaupun tiada sebarang provokasi dicetuskan terhadapnya.

Sebuah pungutan suara dalam talian turut diadakan dengan lebih sejuta orang meminta Clarkson diambil semula sebagai hos Top Gear.

Top Gear mula bersiaran pada 1977 sebagai sebuah rancangan tempatan terbitan BBC.

Sebelum Clarkson menjadi hos pada 27 Oktober 1988, Top Gear merupakan sebuah rancangan yang membosankan.

Kehadiran Clarkson berjaya melonjak reputasi rancangan itu sehingga ia menjadi sebuah rancangan TV berdasarkan fakta yang paling popular di dunia.

BBC akan meneruskan penerbitan Top Gear yang mempunyai 350 juta penonton di seluruh dunia tanpa Clarkson.