Manusia sekali lagi mencipta sejarah apabila buat pertama kali berjaya melakukan pendaratan sebuah robot peninjau di atas sebuah komet pada pukul 16:03 GMT ataupun 12:03 tengah malam tadi waktu Malaysia.

Selepas sepuluh tahun, robot peninjau Philae akhirnya mendarat di atas permukaan komet 67P/Churyumov-Gerasimenko, yang dilancarkan dari kapal angkasa Rosetta.

Pakar astronomi berharap Philae akan mendedahkan asal-usul sistem solar dan kemungkinan juga misteri kewujudan kehidupan di bumi.

Bagaimanapun status pendaratan itu masih samar apabila serampangnya gagal menambat pada permukaan komet itu.

Pengurus projek, Stephan Ulamec menjelaskan satu analisis penuh perlu dijalankan untuk mengetahui status sebenar Philae namun percaya konfigurasi Philae berada dalam keadaan stabil.

Analisis awal yang dilakukan saintis dan jurutera di pusat kawalan Agensi Angkasa Eropah (ESA) mendapati Philae bukan sahaja mendarat, tetapi ia melantun pada permukaan sebanyak dua kali.


Misi Rosetta yang diusahakan ESA menyaksikan suasana gembira di pusat kawalannya di Darmstadt, Jerman.

Kapal angkasa Rosetta dilancarkan 10 tahun lalu di French Guiana dan misi ini menelan belanja £1bn.


Rosetta dan Philae sudah menjelajah lebih daripada 6 bilion kilometer untuk mengejar komet yang mengelilingi atau bergerak pada orbit matahari dengan kelajuan 135,000 km/h.