Kepada personaliti tersohor tanah air itu, usaha membangunkan ummah sentiasa menjentik keinsafan dalam dirinya.
Justeru, apabila berkunjung ke Rumah Komuniti Malaysia (MCH) Liverpool, United Kingdom, hati Rizalman tersentuh melihat premis yang sejak berdekad lamanya menjadi lokasi perhimpunan warga Malaysia di sana.
Masakan tidak, keadaan MCH Liverpool itu sungguh ‘lesu dan tidak bermaya’ serta memerlukan pemuliharaan bagi memastikan peranannya kembali seperti sebelum itu.
Untuk rekod, bangunan tiga tingkat MCH Liverpool dibangunkan oleh sejumlah mantan kelasi kapal berbangsa Melayu di sekitar tahun 1970-an.
Tujuan asal bagi membolehkan pesara-pesara itu dan keluarga terus meraikan kehidupan sebagai orang Melayu di penempatan di luar bandar yang jaraknya hampir 300 kilometer dari kota London kerana sebilangan besar mereka memilih untuk menetap di situ.
Selang peralihan masa seiring dengan kos hidup yang semakin tinggi, MCH Liverpool turut sama terkena tempias arus perubahan.
Memahami keperluan mendesak itu, Rizalman tidak menunggu lama mengambil tindak proaktif seperti yang lazimnya beliau lakukan sebaik mendengar berita yang menuntut perhatian dan komitmen beliau.
Sehubungan itu, sebanyak RM500,000 disalurkan Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI) melalui Dar Al Qari Resources iaitu entiti yang diberi tanggungjawab menyelia dan membantu kerja-kerja pembaikan MCH Liverpool.
Tidak ketinggalan, dana yang diperuntukan bagi proses menaik taraf MCH Liverpool juga sumbangan orang ramai yang disalurkan ke Yayasan RI.
Selepas berbulan proses baik pulih diadakan, pada Ahad lepas, MCH Liverpool yang berwajah baharu dirasmikan oleh Rizalman sendiri yang juga pengasas Yayasan RI.
Menurut usahawan dan dermawan yang bakal mencecah usia 53 tahun pada 28 Oktober depan itu, komitmen Yayasan RI bertitik tolak pada matlamat organisasi itu yang menjadi medium ke arah membina dan mengukuhkan komuniti sejagat.
Jauh lebih utama, bantuan ke MCH Liverpool di bawah jenama Qari International itu, jelas beliau, berteraskan pada tanggungjawab menyediakan prasarana dan perkhidmatan yang komprehensif dalam kerja-kerja pembangunan ummah.
“Sebagai khalifah di bumi Allah SWT, saya melihat ada keperluan untuk saya membantu. Ia bukan untuk diri saya tetapi lebih kepada memberi sinar dan harapan kepada warga Malaysia di Liverpool berhubung kepentingan MCH.
“Dari itu, saya menyimpan niat dan keazaman untuk memberikan sinar baharu kepada warga Malaysia di Liverpool dengan membaik pulih bangunan itu di bawah payung Yayasan RI,” kata Rizalman yang berada di Liverpool bagi menyempurnakan majlis perasmian wajah baharu MCH Liverpool.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan berkata, kerja-kerja membaik pulih premis itu seiring denga objektif utama entiti berkenaan iaitu menjalankan kerja-kerja dakwah.
Susulan kerja-kerja pemulihan tersebut, pimpinan Qari International, kata beliau, akan bersama-sama dengan pengurusan MCH Liverpool merancang projek jangka panjang bagi menghidupkan premis itu.
Kata Jailani, antara projek yang dicadangkan Qari International kepada MCH Liverpool ialah menganjurkan kelas-kelas pengajian dakwah dan agama selain tidak melupakan kepentingan budaya Melayu untuk diterapkan kepada warga di sana.
“Apa yang perlu ditekankan mengenai pengisian MCH Liverpool ialah aktiviti kegamaan dan kebudayaan.
“Kita memahami, masyarakat yang akan sentiasa berkunjung ke MCH Liverpool ialah warga Malaysia yang sudah lama bermastautin di sana beserta anak-anak dan cucu-cucu mereka.
“Komuniti ini juga tidak mahu generasi baharu lupa akar umbi Melayu termasuk bahasa dan cara hidup, jadi harus ada pengisian yang boleh sentiasa mengingatkan mereka mengenai asal-usul generasi mereka,” jelas Jailani lagi.
Qari International merupakan salah satu "jenama" di bawah Pusat Pusat Pengajian Al-Quran Al Qari selain QaRI dan QaRIah yang merupakan salah satu dari tujuh Portfolio di bawah struktur Dar Al-Qari Resources.
Pada masa depan, Jailani juga tidak menolak rancangan untuk bekerjasama dengan insititusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia yang mempunyai rangkaian strategik dengan Yayasan RI untuk mengadakan program di MCH Liverpool.