TUDUNG merupakan pelengkap pakaian wanita Islam yang dituntut dalam ajaran untuk menutup aurat dan sejak sekian lama ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka.

Bagi wanita daripada pelbagai latar belakang kepercayaan dan agama, percubaan memakai tudung sepanjang bulan Ramadan dilihat sebagai salah satu usaha menunjukkan solidariti bersama para wanita Islam yang sering berdepan dengan diskriminasi.

Cabaran memakai tudung selama 30 hari sepanjang tempoh bulan Ramadan merupakan satu inisiatif yang diadakan setiap tahun oleh organisasi Hari Tudung Sedunia (World Hijab Day - WHD), satu organisasi tidak bermotifkan keuntungan bertujuan menjemput para wanita daripada pelbagai latar belakang agama untuk memakai tudung.


Menurut presiden dan pengasas organisasi WHD, Nazma Khan, tujuan penganjuran aktiviti berkenaan adalah bagi membina hubungan antara wanita daripada pebagai anutan agama di samping sebagai satu usaha memecahkan stereotaip wanita Islam bertudung.


“Acara ini adalah untuk mereka yang ingin mencuba pengalaman memakai tudung selama lebih daripada sehari untuk memahami pengalaman dengan lebih mendalam mengenai wanita Islam yang memakai tudung setiap hari,” katanya.

Grace Llyod, gadis warganegara British dan menganut agama Kristian bertekad menyahut cabaran menutup kepalanya dengan menyarung tudung sepanjang tempoh bulan Ramadan sebagai tanda sokongan terhadap wanita Islam yang sering berdepan dengan diskriminasi, hanya kerana memakai tudung.


“Saya amat yakin dengan ini,” katanya yang juga merupakan seorang wanita termuda yang mengikuti cabaran memakai tudung selama 30 hari sepanjang bulan Ramadan.

Lloyd disambut dengan tepukan gemuruh ketika dia masuk ke kelasnya di Sekolah Inggeris Gulf, Doha pada hari pertama Ramadan dengan memakai tudung berwarna hitam dengan seragam birunya.

Gadis berusia 11 tahun itu tersipu ketika rakan sekelasnya dalam bilik darjah gred ketujuh memberikan tepukan dan sorakan yang menyokong usaha Llyod.

“Saya biasanya memakai yang berwarna hitam dan saya berasa lebih selesa apabila memakainya juga,” katanya sambil menambah yang dia akan mencuba untuk memakai warna yang berbeza pada kemudian hari.

Ellie Lloyd, ibu kepada Grace yang juga seorang Pengarah Eksektif WHD berkata, ia sangat bagus bagi yang ingin mencuba untuk mendalami pengalaman wanita bertudung.

Bagaimanapun, dengan cabaran selama 30 hari seseorang itu akan benar-benar dapat merasai pengalamannya.

Percubaan mengenakan hijab membawa pengalaman tersendiri bagi Ellie. - World Hijab Day


“Secara asasnya, tudung merupakan satu helaian kain tetapi bagi seorang wanita Islam, ia mempunyai makna yang besar daripada sekadar helaian kain,” katanya yang juga sebagai duta besar Qatar bagi mewakili satu organisasi bukan bermotifkan keuntungan.

Pada 1 Februari setiap tahun, organisasi berkenaan juga menjemput para wanita untuk menutup kepala selama sehari dengan memakai tudung bagi menandakan Hari Hijab Sedunia.

Berdepan diskriminasi

Wanita Islam sering mengalami diskriminasi dan ancaman hanya kerana memakai tudung, begitu juga tidak kurangnya para wanita bukan beragama Islam yang turut mencuba memakai tudung.

Pamela Zafred, seorang pelajar berasal dari Brazil, memberanikan diri untuk memakai tudung sebagai satu percubaan eksperimen sosial dan baginya ia merupakan satu pengalaman 'yang membuka mata'.


Pelajar berusia 19 tahun dari Goiania itu, yang dibesarkan sebagai Kristian Katolik tetapi tidak mengikuti mana-mana ajaran agama, berkata bahawa pertama cabaran selama 30 hari itu menjadi 'pengalaman buruk' baginya.

"Saya pergi ke gim dengan memakai tudung dan saya sempat mendengar ejekan yang tak berhenti terhadap saya.

“Sewaktu aktiviti kelas kami dijalankan secara berkumpulan, tiada siapa yang sudi bersama saya sebagai satu kumpulan sehingga guru sendiri terpaksa membahagikan kumpulan.


"Saya dapat membayangkan perkara ini berlaku terhadap wanita yang memakai tudung dan bagaimana perasaan mereka yang sering disisihkan akan mempengaruhi peribadi mereka yang sememangnya menjejaskan semangat kekitaan,” jelasnya mengenai pengalaman bereksperimen memakai tudung pada bulan ini.

Menurutnya, cabaran Zafred dalam eksperimennya juga telah menerima beberapa reaksi negatif di media sosial, dengan kata-kata seperti 'penindasan' dan 'perhambaan' dilemparkan terhadapnya.

Wanita Islam bertudung sering menjadi mangsa ancaman Islamofobia terutamanya di Barat dengan pelbagai bentuk diskriminasi yang dikenakan oleh mereka.

Awal tahun ini, satu pengumuman yang menggesa orang ramai untuk menyerang umat Islam pada 3 April, iaitu dikenali sebagai Punish A Muslim A Day yang mula beredar di seluruh bandar raya di United Kingdom.

Pengumuman berkenaan yang disebarkan melalui risalah juga menyatakan adanya tawaran berbentuk ganjaran bagi menarik tudung yang dipakai oleh wanita Islam, mengeluarkan kata kesat terhadap umat Muslim, serta membuang cecair asid ke muka mereka yang beragama Islam.

Di samping itu, berlakunya juga insiden kemarahan dalam kalangan wanita Islam di Eropah apabila Mahkamah Keadilan Eropah memutuskan bahawa majikan berhak melarang kakitangan daripada memakai simbol keagamaan yang boleh dilihat pada tahun lalu.