USAHA untuk menyelamatkan kucing liar Scotland dari kepupusan sudah dimulakan secara besar-besaran.

Kucing pertama kini diperkenalkan kepada pusat pembiakan Saving Wildcats untuk dilepaskan di Highland Wildlife Park.

Paling awal tiba ialah Nell, dari Alladale Wilderness Reserve awal bulan ini dan telah menetap di pusat tersebut.

Ia akan menjadi tempat pembiakan, penjagaan, pemantauan jarak jauh dan latihan bagi menyediakan kucing berkenaan untuk hidup di alam liar.

Kucing liar Scotland memiliki ekor tebal dan lebat dengan gelung hitam yang sedikit berbeza. -  Foto/Saving Wildcats

Projek ini diketuai oleh Royal Zoological Society of Scotland dengan kerjasama beberapa lagi organisasi hidupan liar iaitu NatureScot, Forestry and Land Scotland, Cairngorms National Park Authority, Norden's Ark dan Junta de Andalucía.

“Saving Wildcats adalah kerjasama menarik yang mengumpulkan sumber dan kepakaran diperlukan untuk menyelamatkan spesies kucing liar ikonik Scotland," kata David Barclay, pengurus Saving Wildcats.

Sebanyak 15 ekor kucing lagi akan tiba di pusat ini dalam beberapa minggu akan datang, yang diharapkan dapat membiak dengan sihat.

Kucing liar Scotland. - Foto/Saving Wildcats

"Kami berharap kucing pertama akan sedia untuk dilepaskan ke hutan tahun depan," kata Barclay.

Populasi kucing liar Scotland terancam kerana pada masa dahulu, ia sering dianggap sebagai haiwan perosak oleh pekebun dan dibunuh.

Jumlah sebenar kucing liar Scotland yang masih ada belum diketahui namun pakar berpendapat jumlahnya tidak lebih daripada 300 ekor.

Kucing liar Scotland dari segi fizikalnya nampak seperti kucing tabby domestik biasa.

Namun ia memiliki ekor tebal dan lebat dengan gelung hitam yang sedikit berbeza dan tidak mempunyai garisan punggung di bahagian tengah.




** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!