Semua perkara perlu diambil kira terutamanya apabila menjalani pemeriksaan pada setiap bulan.
Peluang yang paling tidak dilepaskan bagi ibu hamil adalah apabila tiba masa untuk menjalani pemeriksaan imbasan bayi dalam kandungan.
Namun tahukah anda, bagaimana untuk mengetahui umur kandungan melalui proses imbasan itu?
Melalui perkongsian Twitter dari Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, ada beberapa perkara yang ibu perlu tahu ketika pemeriksaan bayi.
Pertama, posisi bayi perlu seperti dalam gambar berikut ini:
Kedua, hidung bayi mesti jelas kelihatan.
Ketiga, antara dagu dan dada bayi mesti ada ruang. Dr. Izzat menjelaskan, bayi perlu kelihatan mendongak sedikit.
Seterusnya, kepala dan pinggul bayi pun mestilah jelas kelihatan.
Selain itu kata Dr. Izzat, untuk mengetahui usia kandungan juga perlulah mengukur dari hujung kepala (crown) ke hujung pinggul (rump).
“Ukuran ini dinamakan Crown Rump Length (CRL). Ukuran CRL ini akan bagitahu berapa minggu kehamilan. CRL ini dibuat masa awal-awal mengandung sahaja, dan paling tepat untuk tentukan umur kehamilan,” jelasnya.
Tambahnya, CRL perlu diukur sekurang-kurangnya dua kali pada awal kehamilan.
Beliau pada masa sama, mengingatkan para ibu supaya jangan lupa untuk pesan pada doktor agar mencetak gambar imbasan yang menunjukkan ukuran CRL dan lekatkan/simpan sebaik-baiknya dalam 'buku pink' atau rekod kesihatan ibu (antenatal).
“Penting ni. Kalau dia (doktor) lupa, tolong ingatkan,” ujarnya lagi.