KETIKA negara sendiri masih berjuang mendapatkan kemerdekaan, rakyat Palestin masih sempat meluahkan penghargaan atas persahabatan dan doa yang sering mengiringi mereka daripada Malaysia.

Sempena Hari Kebangsaan ke-63, satu hamparan pasir di sebuah pantai di Gaza, Palestin, dikorek oleh beberapa individu warga tempatan untuk membentuk rangkaian perkataan yang memaparkan kata-kata 'Selamat Hari Merdeka Malaysia'.

Menerusi satu video yang dimuat naik ke Twitter oleh Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran, lima lelaki Palestin dilihat bertungkus-lumus menyiapkan rangkaian ucapan itu yang diserikan dengan warna-warna yang sinonim dengan Malaysia, iaitu biru, merah dan kuning.


Turut disiapkan di bawah ucapan itu adalah bendera Malaysia dan Palestin yang disusun bersebelahan.

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara hari ini, mari kita rakyat Malaysia sama-sama hulurkan secebis doa buat mereka, yang pastinya mendambakan kebebasan dan keamanan seperti yang dinikmati kita hari ini.

Terima kasih, Palestin!