Paras gula dalam darah akan menurun apabila berpuasa, sekali gus menjadikan badan lemah dan otak sukar untuk menumpukan perhatian.
Berikut lima cara anda boleh melawan rasa mengantuk dan kekal segar semasa berpuasa:
1) Dapatkan tidur yang berkualiti pada waktu malam
Apabila berpuasa, akan ada perubahan pada pola tidur anda kerana anda perlu bangun sebelum subuh untuk bersahur.
Ini faktor utama kenapa kita sering berasa mengantuk pada waktu siang. Untuk mengelakkannya, tidur yang mencukupi dan berkualiti pada waktu malam amat diperlukan.
Jika tidak ada keperluan mendesak, elakkan tidur lewat dan tidur lebih cepat daripada biasa.
2) Power nap
Memandangkan anda tidak perlu menggunakan waktu rehat untuk makan tengah hari, anda boleh memanfaatkan peluang ini untuk tidur seketika.
Anda boleh menetapkan penggera kira-kira 20 minit untuk tidur. Anda akan bangun dengan fikiran yang segar dan lebih produktif untuk menyelesaikan tugas anda selepas itu.
3) Tukar pemandangan
Mereka yang bekerja di pejabat biasanya menghabiskan masa duduk di meja dan merenung skrin komputer sepanjang hari.
Ini akan menyebabkan mata berasa letih sehingga anda mudah mengantuk. Apa kata alihkan pandangan anda dari skrin sekali-sekala. Sebagai contoh, keluar dari pejabat.
4) Basuh muka anda
Apabila rasa mengantuk datang, anda boleh ke tandas dan mencuci muka dengan air sejuk. Kaedah ini telah terbukti dapat mengurangkan rasa mengantuk.
Air sejuk juga membantu anda menjadi lebih tenang dan segar supaya anda boleh menumpukan perhatian terhadap kerja anda.
5) Cuba regangan pejabat yang ringkas
Lakukan regangan ringkas untuk menggerakkan otot anda. Anda juga boleh mengamalkan senaman fizikal ringan seperti berjalan di sekitar pejabat selama beberapa minit.
Ini akan membantu melancarkan aliran darah dan meningkatkan pengambilan oksigen ke otak sambil menghilangkan rasa mengantuk.