SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata beliau berharap ketibaan bulan Ramadan yang disambut malam ini adalah satu bulan yang bermakna bagi umat Islam di negara ini dan akan meluangkan masanya bersama-sama berbuka puasa dengan mereka.

Lee berkata semasa tempoh ini, beliau juga menggalakkan mereka yang lain melakukan perkara yang sama.

"Ambil masa untuk mempelajari agama dan budaya yang lain, sesuatu yang rakyat Singapura mempunyai keistimewaan untuk melakukannya dalam masyarakat kita yang berbilang agama dan budaya.

Sokong juga Bazar Ramadan tempatan dan hayati musim ini yang penuh dengan semangat, " katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Lee juga berkata ruang solat tambahan di sekitar kawasan kejiranan akan disediakan untuk solat Tarawih.

Sebelum ini Majlis Ugama Islam Singapura berkata sejumlah 110,000 ruang akan disediakan di 69 masjid dan sehingga 31 kariah berkaitan masjid akan menawarkan kira-kira 12,000 ruang setiap malam sepanjang bulan Ramadan untuk solat Tarawih.

Umat Islam di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand akan bermula berpuasa pada Selasa.

-- BERNAMA