ENTAH apa yang bermain dalam fikiran sejurus undangan untuk ke destinasi ini diterima. Semuanya bercampur – antara keghairahan menjejakkan kaki ke destinasi eksotik, dan ketidakpastian tentang apa yang bakal menanti.

Namun, tanggapan dari dua hujung skala persepsi itu mencetuskan ramuan percutian yang sangat menjadi! Lokasi di utara Pakistan ini menawarkan segala yang diinginkan sang pengembara lasak, pencinta alam, para antusias geologi dan mereka yang menghargai sejarah serta budaya unik tempatan.

Gilgit Baltistan yang berkeluasan hampir 73,000 kilometer persegi bukanlah wilayah yang baru diteroka. Sejak tahun 80-an, sebelum internet dan media sosial banyak mempengaruhi keputusan percutian, wilayah ini sudahpun mencatat kedatangan wisatawan Barat yang mahu lepas bebas dari cengkaman rutin kota moden yang melemaskan.



Pengembara kulit putih sudah lama turun bermalam di puluhan perkampungan lembah di Gilgit-Baltistan. Di sini, mereka mahu melaras semula pancaindera mereka dalam gaya hidup asas berlatarkan alam pergunungan yang menakjubkan.

Kini, semakin ramai pelancong dari Asia Timur dan Asia Tenggara pula yang tidak mahu ketinggalan memasuki statistik kunjungan ke wilayah ini, yang menjadi tuan rumah kepada lebih 50 puncak gunung dengan ketinggian lebih 7,000 meter.

Namun… anda tidak perlu menjadi seorang pendaki gunung untuk menghargai intipati destinasi ini. Hanya berbekalkan rasa ingin tahu dan bajet yang bersesuaian, ia bakal menjadi sebuah perjalanan epik yang anda impikan!

Mendarat di lapangan terbang paling glamor

Lapangan Terbang Skardu serta-merta menjadi tarikan terawal sejurus tiba dengan penerbangan domestik dari Islamabad. Tanpa sebarang binaan bangunan, sekitar landasan itu hanya dikelilingi gunung-ganang dan hamparan gurun kosong. Bagaikan mendarat di sebuah dimensi asing yang tak terlafaz kata-kata! Sementara menunggu perkhidmatan bas untuk membawa ke pusat imigresen dan tempat menuntut bagasi (yang terlindung di sebalik sudut gunung), mulakan merekod memori percutian ini dengan lensa kamera!



Tasik Kachura, Skardu

Pengunjung menyusuri keindahan petempatan tradisional dengan kepelbagaian aktiviti agrikulturnya. Dari tanaman gandum, kekacang, sayuran hinggalah ke buah-buahan, langkah kaki turut disambut dengan aliran glasier yang menyusuri denai kampung dan ladang ternak, seterusnya menghala ke laluan naik dan turun bukit untuk ke Upper Kachura Lake. Di tasik tenang itu, aktiviti menaiki bot siar boleh dicuba pada harga yang murah, ataupun sekadar berehat sambil menikmati juadah di kafe yang disediakan.

Terdahulu, dalam perjalanan ke lokasi itu, pengunjung tidak akan terlepas pandang pada Lower Kachura Lake yang juga menjadi sebahagian daripada landskap pusat penginapan romantis, iaitu Shangrila Resort. Selain tasiknya yang membias rona langit dan gunung yang mengelilinginya, para peminat bunga mawar tentunya terpukau dengan variasi spesies yang terdapat di situ.

(Dari kiri) Lower Kachura Lake, tanaman gandum di kampung, Upper Kachura Lake.

Gurun Sejuk Sarfaranga

Hamparan gurun dingin pada ketinggian 7,500 meter di atas paras laut, lokasi ini dianggap wonderland bagi ramai pengunjung di Skardu. Panorama yang dihiasi banjaran gunung, tiupan angin kuat dan detik indah matahari terbenam menjadi tarikan utama, selain peluang menyertai aktiviti rekreasi mengujakan seperti merentas gurun dan gumuk pasir dengan pacuan empat roda, menunggang kuda mahupun 'terbang' dengan paralayang.

Foto: Linda

Shigar Fort, Lembah Shigar

Kubu dari kurun ke-17 ini bercerita tentang kisah raja dari Dinasti Amacha. Strukturnya dipertahan menerusi seni bina dan perincian kemasan rustik, membuatkan pengunjung dapat mengimbau kegemilangan kubu itu di setiap ruang dalam bangunan dan halamannya. Menjalani restorasi yang ditaja Yayasan Aga Khan, ia kini berfungsi sebagai muzium dan hotel butik mewah.




Lembah Hunza

Ramai warga Malaysia mula mengenali lokasi ini sejak menonton drama bersiri Akira Khan (dibintangi Uqasha Senrose dan Kamal Adli). Maka, mereka serta-merta tertarik pada keindahan lembah ini yang disifatkan sedang bertransformasi seiring seruan pelancongan Gilgit-Baltistan. Gaya hidup agrikultur tanah tinggi, udara nyaman bebas pencemaran, dan aura ketenangan desa terpencil masih terjaga meskipun penduduknya semakin galak memanggil dan menerima wisatawan asing.

Dari kemegahan kubu bersejarah, kehijauan rimba dan ladang, tasik dan sungai, hinggalah ke kemeriahan Bazar Karimabad, Lembah Hunza pastinya meninggalkan kenangan yang tak terlupakan! Saksikan VIDEO berikut untuk merasai serba sedikit suasana yang dimaksudkan:

Gaya hidup tenang dan santai di Lembah Hunza

Tasik Attabad, Hunza

Tasik Attabad di daerah Gojal ini wujud atas garis masa yang bertukar dari kisah bencana alam ke sebuah pengharapan baharu. Terbentuk daripada insiden tanah runtuh pada 2010 yang menyekat aliran air sungai dan memusnah perkampungan, ia kemudiannya menjadi tarikan pelancongan paling dikenali di Gilgit-Baltistan yang menjana ekonomi setempat. Memantul pesona biru firus, tasik ini menawarkan aktiviti seperti bersiar dengan bot, jet-ski, memancing dan aktiviti rekreasi lain. 






Jambatan Hussaini

Dikenali sebagai antara jambatan paling berbahaya di dunia, binaan tergantung yang merentangi Sungai Hunza ini menghubungkan kampung Hussaini dan Zarabad di seberangnya. Usaha baik pulih telah dijalankan di jambatan ini, namun masih mengekalkan 'ciri khas' iaitu papan pijak yang sengaja dijarakkan, demi identiti 'ngeri'nya! Kalau tidak mahu melangkah di jambatan ini, cubalah rentasan 'zip-line'... membawa anda 'melayang' terus ke seberang. 



Altit Fort, Hunza

Ini monumen paling tua di Gilgit-Baltistan dengan pengiktirafan konservasi tapak warisan UNESCO! Altit Fort yang berusia kira-kira 1,100 tahun menyimpan kisah kuasa pemimpin dengan gelaran 'Mir'. Generasi pemerintahan selama beberapa kurun itu meninggalkan legasi tersendiri menerusi sistem hierarki sosial, seni budaya, dan tadbir urus penduduknya dari etnik Burusho. Sekitar kawasan kubu ini juga terdapat perkampungan usang yang seolah-olah dipegun waktu. 



Khunjerab Pass

Lintasan sempadan antarabangsa tertinggi di dunia boleh disaksikan di sini. Titik tertinggi Lebuhraya Karakoram ini menjadi pintu darat penting antara Pakistan dan China demi urusan perdagangan. Difahamkan, sepanjang tahun tempat ini dilitupi salji dan oleh kerana tarikan itu juga, ia menjadi persinggahan wajib. Perjalanan ke sempadan ini juga melalui zon Taman Negara Khunjerab yang pada bila-bila masa akan memberikan 'bonus' tambahan kepada pelancong yang bermata 'tajam'. Pemerhatian yang cekap dan sedikit tuah membolehkan anda terserempak dengan haiwan liar unik seperti yak, marmot, ibex malah snow leopard!



Gilgit

Berperanan sebagai ibu kota, ini adalah tempatnya untuk berbelanja oleh-oleh wajib iaitu biji-bijian kekacang, buah-buahan segar, buah-buahan kering dan juga helaian selendang pashmina dari pelbagai material dan kualiti. Jika ada lagi Rupee Pakistan yang berbaki, bolehlah juga menuju ke NLI Market yang bakal memberi pengalaman beli-belah yang menyeronokkan. Aneka pakaian, tekstil, aksesori hiasan dan kelengkapan kediaman sedia ditawar hingga ke harga terendah. Di sini juga, anda boleh menempah persalinan kurta custom-made mengikut gaya dan keselesaan tersendiri.



Bercakap tentang seronoknya menjamu mata sepanjang perjalanan antara tempat-tempat tarikan, saksikan VIDEO berikut ini. Ia antara lain memaparkan detik menyusuri laluan di tebing gunung sambil 'berkejaran' dengan arus Sungai Indus yang penuh bertenaga!

Gilgit-Baltistan: Debaran perjalanan di tebing gunung, lembah dan sungai

LAZAT DI MEJA MAKAN

Pengalaman gastronomi di Pakistan sememangnya tidak terlalu asing untuk tunas rasa pelancong Malaysia. Makanan kaya rempah yang berinspirasikan citarasa Moghul seperti pulao, beriani, kebab dan korma pastinya mudah didapatkan. Sesekali untuk mengubah selera, boleh juga memilih hidangan yang mengambil pengaruh gaya kulinari Cina, ataupun boleh mencuba hidangan ikan trout yang bermusim. Namun, di mana pun anda pergi, pastikan tidak ketinggalan untuk mencuba minuman chai (teh) yang lemak manis dan berempah!

Bagi golongan 'foodie', Pakistan turut menawarkan hidangan yang menarik untuk dirasai.

MEMETIK KEMANISAN 

Kedatangan ke Gilgit Baltistan pada bulan Mei adalah yang terbaik. Dalam tempoh musim bunga itu, bukan sahaja warna-warni bunga dapat disaksikan, malah pokok-pokok buah seperti ceri, mulberi dan aprikot sedang meranum dan sedia untuk dipetik. Sebagai contoh, persinggahan di Chilmish Daas, Gilgit ini mendekatkan pengunjung dengan keluarga pengusaha ladang buah-buahan yang mesra mengajak tetamu mereka mengikuti kerja-kerja memetik buah. Jangan tertipu dengan mulberi putih itu... disangkakan muda dan mentah, rupa-rupanya sangat manis!




SINGGAH SEBENTAR DI TIGA LOKASI INI

1) Titik pertembungan plat bumi. Apabila tiba di lokasi di Lembah Chalt ini, halakan pandangan mata ke tebing bukit ini kerana di situlah tempat bertembungnya plat bumi Euro-Asia dan India hingga terbentuk jelas pada rupa bentuk, corak lapisan dan formasi fizikal batuannya.




2) Titik pertemuan tiga banjaran. Hentian ini disediakan untuk memudahkan pelancong menikmati pemandangan spektakular di kawasan pertemuan tiga banjaran iaitu Himalaya, Karakoram dan Hindu-Kush, yang turut menjadi lokasi pertemuan Sungai Hunza dan Sungai Indus. 




3) Titik sejarah perdagangan. Perhatikan pada gambar di bawah ini... Laluan sempit yang berliku-liku di tepi lereng gunung itu merupakan bekas laluan bersejarah yang suatu masa dahulu digunakan semasa zaman perdagangan Laluan Sutera.



PENGINAPAN SELESA

Rentak pelancongan yang semakin pesat berkembang menjanjikan prospek cerah bagi pengusaha penginapan, sama ada hotel bajet mahupun yang bertaraf bintang lima. Dalam kunjungan kali ini, tiga hotel berikut adalah antara penginapan yang menawarkan pengalaman hospitaliti yang cemerlang. (Dari kiri ke kanan) Hotel Himalaya Skardu, Famree Resort Hunza dan Fairy Land Hotel, Dulkar adalah antara yang boleh dipertimbang.



Persoalan seperti “Kenapa ke utara Pakistan?”, “Tak bahaya ke sana?”, “Destinasi tak glamor” ataupun “Susah nak bergerak ke sana-sini” akan mudah dijawab atau ditepis oleh mereka yang sudahpun sampai ke destinasi istimewa ini.

Jika anda tergolong dalam kumpulan pengembara yang mahu mencari destinasi epik, rugged, eksotik, dan menjanjikan kejutan pandangan di segenap sudut, Gilgit-Baltistan adalah jawapannya!

Cepat rancang percutian sekarang, sebelum lokasi ini menjadi terlalu popular dan sesak dengan pelancong antarabangsa!

Pakistan Zindabad!

INFO DAN TIP