PENDAKWAH bebas yang juga merupakan juara program Pencetus Ummah (PU) musim kedua, Azman Syah Alias menegur sikap segelintir anggota masyarakat yang mementingkan hiburan sehingga mengabaikan waktu solat.

Menerusi entri di akaun Instagramnya, dia yang popular dengan nama PU Azman, mengingatkan penonton agar lebih sensitif dan memilih waktu yang bersesuaian untuk menonton filem di pawagam supaya tidak mengganggu waktu solat.

"Solat itu peneman sejati di mana pun kita berada. Sambil beratur membeli tiket, bisikkan juga di telinga rakan-rakan tentang kewajipan solat.

"Menonton wayang jangan sampai menghalang kita melakukan perkara yang wajib," tulisnya.




PU Azman turut menggariskan beberapa panduan menonton wayang, antaranya filem yang ditonton perlu mempunyai unsur positif dan mendidik, serta mengelakkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita.

Biarpun tidak memperincikan secara jelas, teguran itu dipercayai ada kaitan dengan beberapa status netizen yang terkejut apabila melihat ramai penonton dalam kalangan lelaki Islam menonton filem "Munafik 2" pada waktu solat Jumaat, selain penonton Islam yang memenuhi panggung pada waktu Maghrib.