KOTA BHARU: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah ungkapan sesuai diberikan kepada Yusran Hamat, 49, yang berjaya memanfaatkan tempurung kelapa yang dibuang dengan menjadikannya hasil kraftangan sebagai sumber rezekinya.
Yusran yang sebelum ini bekerja mengambil upah menjual barang kitar semula mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas menyebabkan sumber rezekinya agak terjejas, sekali gus memaksa dirinya mencari alternatif sebagai 'duit poket' tambahan untuk menyara keluarga.
Katanya, idea untuk menghasilkan kraftangan menggunakan tempurung kelapa itu timbul apabila beliau ke kedai menjual santan berhampiran dengan rumahnya di Kampung Wakaf Tok Kasim, Sabak, sebelum melihat ia terbuang begitu sahaja.
"Sudah beberapa kali, apabila saya ke kedai berhampiran dengan rumah, saya melihat tempurung kelapa dibiarkan begitu sahaja dan ada satu ketika sebaik pulang timbul idea untuk memanfaatkan bahan buangan tersebut agar ia dapat menjadi punca rezeki.
"Selepas memikirkan cara yang terbaik untuk memanfaatkan tempurung kelapa itu, saya mula menonton video-video dalam YouTube yang memaparkan cara untuk membuat kraftangan menggunakan hasil buangan itu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Kasim, Sabak, di sini hari ini.
Bercerita lanjut, bapa kepada lima anak itu berkata selepas beberapa kali melakukan percubaan untuk menghasilkan kraftangan berpandukan video dalam YouTube, beliau akhirnya berjaya menghasilkan bentuk pulau dan pokok kelapa menggunakan tempurung kelapa.
"Tidak dinafikan pada awal percubaan ia tidak berhasil, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba yang akhirnya berjaya walaupun masih perlu penambahbaikan.
"Malah, dengan kata-kata semangat yang diberikan oleh isteri, Fazilah Ab Ghani, 45, untuk mencari rezeki halal bagi kami sekeluarga turut mendorong saya meneruskan idea ini," luahnya.
Yusran berkata, bermula Mac tahun lepas beliau mula mengambil tempurung kelapa itu yang diberikan secara percuma oleh pemilik kedai santan berkenaan untuk menghasilkan pelbagai hasil kraftangan.
Bagi menghasilkan hasil kraftangan yang elok dan tidak mudah rosak, beliau akan memastikan tempurung kelapa yang menjadi bahan asas berada dalam keadaan baik serta tidak mudah rapuh untuk memudahkan ia dibentuk.
"Saya akan melukis bentuk yang diinginkan terlebih dahulu di atas kertas sebelum ditekap di atas permukaan tempurung kelapa. Kemudian, ia akan dicanai mengikut bentuk yang diperlukan dan diakhiri dengan cat untuk mengelakkan ia lusuh.
"Antara bahagian agak rumit adalah ketika mencanai tempurung berkenaan kerana khuatir akan pecah sekiranya tidak dibuat dengan berhati-hati," katanya.
Beliau berkata, hampir seminggu sekali beliau memerlukan bekalan tempurung kelapa sebanyak lima kilogram untuk menghasilkan kraftangan termasuk tabung, cawan, burung, kapal dan sebagainya yang dijual bermula harga serendah RM5 hingga RM40.
"Hampir setiap hari saya mampu menghasilkan sekitar dua hingga tiga kraftangan bergantung kepada saiz dan bentuk dan kebiasaannya ia akan mengambil masa dua hingga 12 jam untuk siap satu produk kraftangan.
"Kebiasaannya hasil kraftangan yang dihasilkan diletakkan di sebuah kedai berdekatan dengan rumah saya. Jualan kraftangan saya mampu memperoleh sekitar RM300 sebulan," katanya sambil menambah beliau dalam perancangan memperluaskan jualan kraftangannya di tempat lain di Kelantan.
-- BERNAMA
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
Bernama
Sat Aug 21 2021
Sebahagian hasil kraftangan tempurung yang dihasilkan Yusran Hamat, 49, untuk dijual ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Kasim. -Foto Bernama
AIR 2040: Integrasi agensi pacu pelbagai sektor, manfaat untuk negara
Pelan itu juga memudahkan integrasi dalam proses transformasi sektor air bagi memacu Malaysia sebagai hab utama pelbagai sektor dalam kalangan negara serantau.
London bakal menjadi ibu kota sukan wanita pada 2025 - Datuk Bandar Sadiq Khan
Final Piala Dunia Ragbi Wanita di Twickenham pada 27 Sept akan menjadi kemuncak kepada siri acara menarik yang diadakan di bandar raya itu.
Lelaki ditahan, 2 OKU mangsa pemerdagangan diselamatkan
Seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun ditahan polis dalam operasi khas berkaitan kes pemerdagangan orang di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor.
PJH tidak dibenarkan iklankan promosi visa mujamalah
Agensi pelancongan yang telah menerima lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Tabung Haji (TH) tidak dibenarkan membuat sebarang promosi berkaitan visa mujamalah atau furada semasa musim haji.
PDRM laksana OP lancar bermula hari ini hingga 2 Jan
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan melaksanakan Op Lancar bermula hari ini hingga 2 Jan depan sempena musim perayaan dan cuti akhir tahun persekolahan.
Lelaki maut selepas terjun dari jambatan di Klang
Mangsa berusia 41 tahun disahkan mempunyai masalah psikiatri selain mempunyai sejarah menghidap diabetes dan darah tinggi.
Polis rampas rokok putih bernilai RM473,000
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tangkapan dan rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 PGA pada kira-kira 1.30 pagi ketika menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Situasi COVID-19 dan influenza terkawal - KKM
Situasi COVID-19 dan influenza di Malaysia terkawal dengan tiada peningkatan kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.
Kremlin nafi dakwaan isteri Bashar al-Assad mohon cerai
Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menafikan dakwaan bahawa isteri pemimpin rejim Syria yang digulingkan, Bashar al-Assad memohon cerai.
Israel pamer rampasan senjata di selatan Lubnan
Dalam kenyataan kepada media, jurucakap tentera Nadav Shoshani menyatakan bahawa banyak senjata tersebut berasal dari Iran dan dibawa melalui Syria.
Tempurung kelapa terbuang kini sumber rezeki penjual barang kitar semula
Idea menghasilkan kraftangan menggunakan tempurung kelapa itu timbul apabila Yusran ke kedai menjual santan berhampiran dengan rumahnya di Kampung Wakaf Tok Kasim.