DUBAI, terletak di negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), lambang kekayaan, kemajuan dan kecanggihan dunia masa kini.

Bangunan tertinggi dunia, kereta mewah di segenap pelusuk jalan, kehidupan mewah, hotel yang tarafnya ‘berbintang-bintang’, semuanya ada di sana.

Tak cukup dengan itu, Dubai kini mengumumkan rancangan untuk memulakan sesi percubaan perkhidmatan teksi dan e-hailing tanpa pemandu atau ‘driverless taxis and e-hail services’.

Bukan lagi lima tahun, bukan juga dalam tahun 2030 tapi sebaliknya Dubai bakal melakukan percubaan perkhidmatan itu menjelang akhir tahun ini, memetik laporan Khaleej Times.


RTA (Roads and Transport Authority) Dubai telah menandatangani perjanjian dengan Cruise Company, anak syarikat milik General Motors untuk mengendalikan kenderaan itu di kawasan tersebut.

Pihak berkuasa memaklumkan percubaan termasuk pemetaan jalan perlu dilakukan untuk kenderaan Cruise - kenderaan akan digunakan dalam pelaksanaan terbaharu itu - dan ia adalah persediaan sebelum benar-benar melaksanakannya pada 2023.

RTA (Roads and Transport Authority) Dubai telah menandatangani perjanjian dengan Cruise Company, anak syarikat milik General Motors untuk mengendalikan kenderaan itu di kawasan tersebut.

Syarikat itu akan menawarkan perkhidmatan teksi dan e-hailing di Dubai, sekali gus menjadikan bandar itu merupakan bandar pertama mengendalikan kenderaan tanpa pemandu milik Cruise di luar AS.

Buat permulaan, hanya beberapa kenderaan tersebut akan digunakan pada 2023 dan akan ditambah sehingga mencapai jumlah 4,000 buah menjelang 2030.

Buat permulaan, hanya beberapa kenderaan tersebut akan digunakan pada 2023 dan akan ditambah sehingga mencapai jumlah 4,000 buah menjelang 2030.

Ketua Pengarah RTA, Mattar Mohammed Al Tayer berkata, perjanjian perkongsian itu ditandatangani mengikut arahan dikeluarkan Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Putera Mahkota Dubai.

Al Tayer turut melakukan pertemuan dengan delegasi dari Cruise Company yang diketuai oleh Anthony Gregory, naib presiden pembangunan pasaran, Cruise, Amerika Syarikat.

Perbincangan itu meliputi pembekalan kenderaan, operasi, perkembangan terkini pengendalian kenderaan itu di San Francisco dan pengeluaran kenderaan tersebut Cruise Origin.

“Inisiatif ini meningkatkan peranan Dubai sebagai perintis dalam pengangkutan pandu sendiri. Ia merupakan langkah penting ke arah merealisasikan Dubai Smart Self-Driving Transport Strategy,” katanya.

Teknologi terbaharu itu pastinya akan merancakkan lagi sektor pengangkutan dan ekonomi di Dubai.

Delegasi dari Cruise sebelum ini melawat beberapa kawasan di Dubai untuk mengkaji lokasi terbaik untuk melancarkan perkhidmatan itu berdasarkan beberapa standard teknikal dan permintaan pelanggan.

Ketika banyak negara masih terkesan dengan COVID-19, Dubai nampaknya mula mengorak langkah merencana pelbagai strategi untuk masa depan, memanfaatkan teknologi demi teknologi baharu di dunia.

Tidak mustahil beberapa tahun mendatang, kereta terbang pula menguasai ruang udara Dubai nanti!


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!