SEBAGAI panduan untuk semua umat Islam, Astro AWANI senaraikan tarikh penting dalam kalendar Islam untuk tahun 2021 Masihi bersamaan 1442 Hijrah di Malaysia beserta fakta-fakta berkaitan tarikh-tarikh berkenaan:
 

11 Mac 2021 - 27 Rejab 1442: Israk Mikraj

Peristiwa Israk merupakan perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil, manakala peristiwa Mikraj pula perjalanan Rasulullah naik ke langit dengan ditemani malaikat Jibrail dan bertemu Allah.


13 April 2021 - 1 Ramadan 1442: Awal Ramadan*

Sambutan Ramadan di Malaysia khususnya dan di sebilangan besar negara di dunia pada 2020 sangat berbeza sekali.

Umat Islam menjalani hari pertama ibadah puasa tahun 2020 pada hari ke-38 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah tiada solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan solat Tarawih di masjid dan surau bagi mematuhi PKP.


29 April 2021 - 17 Ramadan 1442: Nuzul al-Quran

Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira, Mekah iaitu tahun ke-41 daripada keputeraan baginda.

BACA: Sambutan Nuzul al-Quran: 10 kisah inspirasi dampingi al-Quran
 
13 Mei 2021 - 1 Syawal 1442: Hari Raya Aidilfitri*

Sambutan Aidilfitri pada 2020 juga jauh berbeza berbanding sambutan-sambutan sebelum ini apabila rakyat Malaysia masih dalam fasa PKP yang tidak dibenarkan merentas negeri.

Ramai orang ketika itu mengadu ingin pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri kerana mereka ‘takut tidak sempat minta maaf’ kepada keluarga dan saudara terdekat.


11 Julai 2021 - 1 Zulhijjah 1442: Awal Zulhijjah

 
Sumber Facebook DrMAZA

Terdapat dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang memberi maksud 10 hari awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang penuh dengan kelebihan dan kurniaan Allah.

BACA: Hari yang sunat, makruh dan haram berpuasa

20 Julai 2021 - 10 Zulhijjah 1442: Hari Raya Aidiladha*

Umat Islam di Malaysia yang menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun 2020 dibenarkan merentas negeri ketika fasa PKPP.

Namun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat supaya lebih peka dan berhati-hati kerana khuatir jangkitan COVID-19 akan meningkat.

10 Ogos 2021 - 1 Muharam 1443: Maal Hijrah / Tahun Baru Islam

Hijrah melambangkan keikhlasan dan pengabdian seorang hamba demi keimanan dan keyakinan kepada Allah dan syariatNya.

19 Oktober 2021 - 12 Rabiulawal 1443: Maulidur Rasul

Tahukah anda bahawa umat Islam seluruh dunia meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul dua kali tahun 2015, iaitu pada 3 Januari bagi tahun 1436H dan 24 Disember bagi tahun 1437H.

 

[INFOGRAFIK] Takwim penggal dan cuti persekolahan tahun 2021

NOTA:

* Tarikh ini akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
* Tarikh ini merujuk pada laman sesawang JAKIM https://www.islam.gov.my