DALAM pada keterujaan menyaksikan perlawanan acara sukan, penonton di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini dihiburkan dengan keletah maskot Rimau dan Nila yang muncul secara tiba-tiba.

Maskot singa comel dari negara Singapura itu kemudiannya dilihat berpelukan dengan maskot rasmi temasya Sukan Sea ke-29, Rimau.

Aksi spontan itu dirakamkan penonton yang hadir untuk menyaksikan acara renang yang disifatkan sangat mencuit hati.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin (KJ) turut berkongsi gambar-gambar Rimau dan Nila itu di Twitternya.

Gambar itu telah menerima perhatian netizen sehingga dikongsi semula (retweet) sebanyak 11,000 kali dan 6,000 likes.

Gambar itu secara tidak langsung menyifatkan simbol perdamaian antara dua negara berjiran Malaysia dan Singapura.

Tambahan, sebelum ini panas dengan kenyataan kontroversi perenang pingat Olimpik dari Singapura, Joseph Schooling yang memperkecilkan keupayaan perenang Malaysia.

Lebih mencuit hati sebenarnya apabila KJ turut memuat naik gambar Rimau ditahan polis ekoran aksi berpelukan itu.

"Nakal sangat Rimau ni. Nak kena rotan dengan Abah ni," tulis @NrlAida.

"Suruh Rimau kiss Garuda pula. Bolehlah berdamai rakyat jelata di sana," tulis @Imrankadir94.




Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Twitter Khairykj