Biasanya demam sawan boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia dari 6 bulan hingga 5 tahun.
Semoga Perkongsian daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad mengenai tanda-tanda dan gejala serta risiko demam sebegini berulang kepada si kecil mama dapat dijadikan panduan.
SAWAN DEMAM
Sawan adalah keadaan di mana kanak-kanak tidak sedarkan diri dan biasanya diikuti oleh kekejangan atau penyentakan kaki dan tangan.
Demam sawan adalah sawan yang berlaku dengan suhu badan yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak berusia dari 6 bulan hingga 5 tahun.
Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas dalam kalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal.
Diagnosa sawan demam hanya boleh dibuat selepas doktor mendapati tidak ada punca-punca lain yang menyebabkan sawan selain daripada suhu badan yang tinggi (biasanya melebihi 38ºC).
TANDA DAN GEJALA
- Anak akan tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindak balas apabila dipanggil
- Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak
- Mata mungkin terbeliak ke atas.
- Kadang-kala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan sahaja, seperti satu tangan atau satu kaki
- Sawan biasanya berhenti dengan sendiri selepas 2-3 minit atau kurang, dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun dalam kes di mana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan secepat mungkin
- Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut
- Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5 darjah Celsius
- Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau “sawan babi” adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam)
- Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam.
Majoriti besar sawan demam adalah tidak membahayakan. Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak.
Kajian perubatan mendapati kanak-kanak yang sawan demam memperolehi pencapaian yang normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan yang sama seperti adik-beradik lain yang tidak mengalami masalah sawan demam.
Malah dalam kes-kes yang jarang berlaku di mana sawan berlarutan sangat lama melebihi satu jam, didapati kanak-kanak tersebut juga pulih sepenuhnya.
FAKTOR-FAKTOR RISIKO UNTUK SAWAN DEMAM BERULANG
Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.
- Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal
- Sejarah sawan demam dalam kalangan ahli keluarga terdekat (ibu bapa dan adik-beradik)
- Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) dalam kalangan ahli keluarga terdekat
APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN JIKA ANAK MENGALAMI SAWAN?
Baringkan anak anda secara mengiring sebelah kiri atau kanan.
- Jauhkan anak anda dari sebarang benda yang berbahaya atau tajam
- Jangan sekali-kali memasukkan sesuatu ke dalam mulut anak anda semasa berlakunya sawan
- Jangan menampar, menggoncang atau mengurut badan anak anda untuk menyedarkan dirinya semasa sawan
- Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan
- Bawa anak anda ke hospital dengan segera, jika sawan berlaku
- Anak anda perlu diperiksa oleh doktor selepas berlakunya sawan untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang jangkitan kuman pada otak
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
*Artikel asal di Pa&Ma
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!