Rata-rata memilih untuk keluar membeli-belah lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas menjelang seminggu sebelum hari raya nanti.
Namun begitu, tinjauan di beberapa lokasi terkenal termasuk Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) pada Sabtu (1 April) agak berbeza berbanding tahun sebelum ini.
Kelihatan lokasi sedikit lengang daripada kunjungan orang ramai meskipun gerai jualan sudah mula dibuka sejak awal pagi.
Pengunjung, Syahira, 27, berkata sudah menjadi tradisi keluarganya berkunjung ke Jalan TAR untuk melakukan persiapan awal Aidilfitri.
“Macam biasa saya akan pergi ke sini bersama ibu- bapa dan kakak untuk dapatkan keperluan raya seperti baju, tudung dan langsir.
“Apa yang mengejutkan, Jalan TAR lengang, sangat berbeza jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini. Saya datang setiap tahun jadi saya boleh rasa vibe berbeza kali ini. Nak cakap awal sangat pun tidak kerana hari ini dah Ramadan ke-10,” katanya semalam, kepada Astro AWANI.
Sementara itu, pengunjung, Shahirah Zulkifly, 24, yang bekerja berhampiran bazar Jalan TAR turut mempunyai pendapat serupa.
“Memandangkan bulan Ramadan, bila waktu lunch hour saya akan turun ke Jalan TAR atau ke Sogo untuk cuci mata.
“Saya dapati tahun ini tak ramai orang sangat berbanding sebelum ini. Ini masuk tahun ketiga saya bekerja di kawasan sini, memang musim Ramadan saya rajin ‘turun kawasan’. Macam saya sebagai kakitangan kerajaan, saya akan mula beli-belah selepas 17 April nanti. Sekarang sekadar cuci mata dulu. Cuma saya harap kemeriahan itu makin bertambah bila nak dekat raya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, pengunjung berharap Jalan TAR akan kekal meriah sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri nanti, sama seperti tahun sebelum COVID-19 melanda dunia.