MEMBELI sebuah rumah merupakan impian setiap individu.

Namun dengan komitmen setiap bulan yang perlu dijelaskan, menyimpan duit menjadi sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

Keadaan ini semakin ketara dalam kalangan golongan muda yang ingin bersosial bersama rakan-rakan.

Seorang gadis mendedahkan bagaimana dia berjaya menyimpan duit dari usia 16 tahun.

Kini setelah mencapai usia 21 tahun, Becca Thompson berjaya membeli sebuah rumah.

Dalam perkongsian di akaun media sosial TikTok miliknya, Becca berkata membeli rumah ketika usia muda tidak sesuatu yang mustahil.

"Saya mula menyimpan duit lima tahun lalu daripada gaji kerja sambilan sebanyak 3 pound sejam ketika saya berusia 16 tahun.

"Sekarang ketika saya berusia 21 tahun, saya mampu membeli rumah sendiri," katanya.



Thompson berkata rumah yang dibelinya itu terletak di Tyne and Wear, sebuah daerah di utara England.

Tambahnya, dia mendapat tawaran yang hebat susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Rumah teres dua tingkat yang dibeli itu dijual pada harga 86,000 pound.

Thompson berkata, pada mulanya dia akan menyimpan jumlah yang sama dengan jumlah yang dibelanjakan.

Selain itu pegangan hidup dia adalah, jika dia tidak mampu membeli sesuatu sebanyak dua kali, dia tidak akan membelinya.

"Selepas saya menjadi serius dengan pembelian rumah ini, saya menyimpan 800 pound sebulan," katanya.

Rakaman video itu terus menjadi tular dan sehingga kini telah meraih sebanyak 221,000 tontonan.

Rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Thompson dan perbuatannya itu menjadi inspirasi kepada ramai lagi golongan muda serta mereka yang menghadapi masalah menyimpan wang.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!