SEBAB Ummi tak bawa adik mandi kolam!

Alasan itu digunakan seorang murid sekolah rendah untuk berendam umpama raja di lopak air di sebuah padang sekolah.

Dalam entri ibunya yang dikenali sebagai Rozita Abdul Razak di akaun Facebook, dia dimaklumkan oleh guru sekolah, anaknya sedang bermain air.

Namun dia tidak menyangka, air yang dimaksudkan itu adalah lopak air hingga basah keseluruhan baju anaknya itu.

"Terkejut Ummi.. Ada cikgu bagitahu, “Ita anak ko main air!!.

"Ingatkan sikit-sikit je, rupanya dia berenang. Abangnya tegur, abangnya kena kejar.

"Bila tanya, jawapan dia, ummi tak nak bawa adik mandi kolam kenapa?

"Ummi malas nak kejar, nanti dia lari keliling sekolah, Ummi yang penat.

"Seronok berganda-ganda bila ramai penonton," tulisnya.



Berdasarkan foto yang dimuat naik, jelas menunjukkan anaknya itu benar-benar menikmati waktunya di ‘kolam’ tersebut dengan pelbagai aksi menarik.

Ia juga mendapat pelbagai reaksi netizen yang antaranya menyifatkan tindakan adik itu mengimbau kembali zaman kanak-kanak mereka.