KONVOI Perodua Aruz TransBorneo, yang membabitkan enam Perodua Aruz, mengambil peluang berkunjung ke Rumah Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Yakin di Sandakan, Sabah.

Ketika kunjungan itu, Perodua menyumbang wang tunai RM5,000 kepada rumah jagaan berkenaan dan juga menyediakan makanan tengahari untuk penghuninya yang terdiri daripada 20 orang anak-anak yatim serta lima orang penjaga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sebagai sebuah syarikat tempatan yang mengutamakan insan, Perodua berharap agar sumbangan itu sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada mereka.

Konvoi Perodua Aruz TransBorneo berlepas dari Kuching pada 16 Mac lalu dan sudah menjelajah melalui Sibu, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Kundasang dan Sandakan.

Sepanjang perjalanan, konvoi bertemu dengan masyarakat dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkenalkan serta memberi pengalaman pemanduan SUV baharu Perodua kepada mereka.