KUALA LUMPUR: Risiko seseorang mengalami kolesterol tinggi tidak terhad kepada golongan tua sahaja, kata Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr Beni Isman Rusani.

Menurut beliau, kolesterol boleh meningkat dalam tubuh sesiapa sahaja, termasuk golongan muda.

"Kolesterol dalam badan bermula rendah ketika lahir, namun akan meningkat apabila dewasa.

"Malah, sejak tahun pertama kehidupan sehingga mencapai usia dewasa, paras kolesterol akan bertambah," katanya dalam temu bual AWANI Pagi pada Rabu.

AWANI Pagi: Fakta dan Mitos berkenaan kolestrol tinggi anak muda

Dr Beni turut menafikan mitos bahawa individu berbadan kurus terselamat daripada risiko kolesterol tinggi.

Beliau menjelaskan, walaupun individu obes lebih mudah mengalami masalah kolesterol tinggi, orang kurus juga tidak terkecuali daripada risiko tersebut.

Tambah beliau, kolesterol tinggi tidak menunjukkan sebarang simptom yang ketara, berbeza dengan penyakit lain seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis.

"Kolesterol adalah 'pembunuh senyap'. Kebiasaannya, tiada tanda-tanda jelas kecuali dalam kes yang sangat tinggi," ujarnya