PEMENTASAN Randai Macbeth arahan Norzizi Zulkifli merupakan sebuah adaptasi interkultural unik yang menggabungkan elemen tradisi Nusantara dengan karya klasik Barat.

Ia bukan sekadar eksperimen estetik, tetapi juga eksplorasi mendalam mengenai makna kuasa, moral, dan takdir yang melintasi sempadan budaya.

Adaptasi ini berjaya menjadikan karya Shakespeare relevan dengan konteks semasa.

Penggabungan elemen Randai dalam Macbeth mencetuskan dialog estetik antara dua budaya.

Randai, dengan pergerakan berirama dan kerjasama kolektif, menekankan nilai keharmonian dan keseimbangan - berbeza dengan sifat individualistik dan fokus konflik dalaman dalam karya asal Shakespeare.

Kontras ini menyerlahkan perbezaan asas antara dua budaya: Macbeth bertumpu pada dilema dan kehancuran individu, manakala Randai meraikan semangat komuniti dan kerjasama.

Penggunaan Randai bukan sahaja menyegarkan persembahan Macbeth tetapi juga memberikan identiti tempatan yang kukuh kepada karya Barat ini.

Norzizi bukan sekadar memperkenalkan keindahan seni tradisional Nusantara kepada khalayak, tetapi turut membuktikan bagaimana karya klasik Barat boleh diolah semula untuk relevan dengan isu-isu dan nilai masyarakat moden.

Pementasan ini adalah bukti bahawa dialog antara budaya bukan sahaja memperkaya pengalaman seni, tetapi juga membuka ruang untuk kita menilai semula isu universal seperti kuasa, moral, dan takdir dalam perspektif yang lebih luas dan kontekstual.

Pujian atas kerjasama ASWARA dan UiTM

Pementasan ini merupakan hasil kerjasama Pusat Seni Pentas Traditional (PuTRA), ASWARA, dan Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM, yang berjaya membawa Macbeth kepada khalayak dengan sentuhan tempatan yang segar.

Persembahan ini berlangsung di Blackbox ASWARA dari 10 hingga 12 Oktober lalu dan telah mencuri perhatian ramai.

Kepakaran Norzizi dalam adaptasi interkultural

Norzizi yang juga Ketua Pengajian Seni Persembahan di UiTM, bukanlah asing dalam dunia adaptasi interkultural.

Sebelum ini, beliau menghasilkan Mak Yong Titis Sakti, adaptasi A Midsummer Night’s Dream oleh Shakespeare, yang pertama kali dipersembahkan pada 2009 dan dihidupkan kembali pada 2018 sempena ulang tahun ke-30 The Actor’s Studio.

Karya ini bukan sahaja istimewa kerana tersenarai dalam Asian Shakespeare Intercultural Archive, tetapi juga menjadi bahan rujukan akademik.

Pada 2017, Norzizi memperkenalkan Throne of Thorns, adaptasi The Tempest karya Shakespeare, yang diperkaya dengan elemen Mak Yong.

Projek ini adalah sebahagian daripada penyelidikan PhD beliau di University of Wollongong, Australia.

Takdir dan pilihan: Tafsiran Barat dan Nusantara

Dalam dunia Nusantara, konsep takdir sering dikaitkan dengan qada' dan qadar, tetapi manusia tetap bertanggungjawab atas pilihannya.

Randai Macbeth menonjolkan konflik antara takdir dan keputusan yang pilihannya untuk memenuhi ramalan ahli sihir, kejatuhannya adalah akibat keputusan moralnya, bukan sekadar takdir.

Ini selari dengan falsafah Nusantara bahawa setiap individu harus memikul tanggungjawab atas tindakannya, walaupun di bawah ketentuan Ilahi.

Randai Macbeth, lakonan Che Kem atau Kamarulzaman Taib memfokuskan kepada motivasi Macbeth untuk meraih kuasa, walaupun ia memerlukan pengkhianatan.

Konflik antara takdir dan pilihan diekspresikan melalui pergelutan dalaman yang halus, mencerminkan bagaimana keinginan peribadi mengatasi moral dan ramalan.

Che Kem bijak bermain dengan gerak tubuh dan ekpresi bagi menyampaikan maksud sebenar karakter bukan sekadar dibenihkan di dalam dialog.


Che Kem mengekspresikan keraguan dan rasa bersalah Macbeth melalui cara bahasa tubuhnya bergerak atau berjeda dalam pantun, mencerminkan teknik Stanislavsky yang memfokuskan pada komunikasi bukan lisan. - Gambar ihsan Izzat Fadzil & Aaren Kang

Dalam Randai Macbeth, aspek ini dikuatkan dengan koreografi oleh Yusmar Afendi dan ekspresi halus para pelakon.

Che Kem mengekspresikan keraguan dan rasa bersalah Macbeth melalui cara bahasa tubuhnya bergerak atau berjeda dalam pantun, mencerminkan teknik Stanislavsky yang memfokuskan pada komunikasi bukan lisan.

Gabungan falsafah Nusantara dan teknik lakonan realisme Stanislavsky memberi kedalaman emosi dan moral kepada pementasan Randai Macbeth.

Pementasan ini menekankan bahawa kejatuhan individu bukan hanya bergantung pada takdir atau ramalan, tetapi pada pilihan dan keputusan moralnya.

Berbanding tradisi Barat yang melihat takdir sebagai kuasa mutlak, pementasan ini memperkenalkan perspektif alternatif - walaupun ramalan wujud, pilihan moral tetap menentukan nasib seseorang.

Kuasa dan kepimpinan: Dua perspektif dudaya

Adaptasi ini turut meneliti konsep kepimpinan dari sudut Barat dan Nusantara.

Dalam versi asal Shakespeare, Macbeth mengutamakan cita-cita peribadi dan sanggup melakukan pengkhianatan demi kuasa.

Namun, melalui adaptasi Norzizi, kepimpinan digambarkan sebagai amanah kepada masyarakat, bukan sekadar matlamat individualistik.

Pelanggaran amanah oleh Macbeth mencerminkan kritikan terhadap pemimpin moden yang mengabaikan nilai moral dan spiritual.

Karya ini berjaya menyampaikan mesej penting bahawa kuasa harus diimbangi dengan tanggungjawab moral, suatu kritikan halus terhadap situasi politik kontemporari.

Wanita dan kuasa dalam dua dimensi budaya

Watak Lady Macbeth dalam karya Shakespeare mencabar stereotaip tradisional yang menggambarkan wanita sebagai lemah, pasif, dan sekadar penjaga nilai moral.

Sebaliknya, dia ditampilkan sebagai figura berkuasa yang bukan sahaja mempengaruhi, tetapi juga memanipulasi suaminya untuk melakukan kezaliman demi mencapai kedudukan tertinggi.

Dalam adaptasi Randai Macbeth, Norzizi memberi dimensi baharu kepada watak ini dengan mengakar wataknya ke dalam kerangka budaya Nusantara, memperkayakan makna peranan wanita dan kuasa dalam konteks tempatan.

Melalui lakonan Juhara Ayob, Lady Macbeth tidak sekadar berperanan sebagai sokongan kepada suami, tetapi muncul sebagai simbol cita-cita dan ambisi yang melangkaui peranan tradisional wanita.

Lakonan Juhara Ayob tidak sekadar berperanan sebagai sokongan kepada suami, tetapi muncul sebagai simbol cita-cita dan ambisi yang melangkaui peranan tradisional wanita. – Gambar ihsan Izzat Fadzil & Aaren Kang

Watak ini menunjukkan bahawa wanita juga berpotensi untuk terjerumus dalam godaan kuasa dan kesilapan moral, sekali gus membuka ruang kritikan terhadap stereotaip gender.

Ia memaparkan bahawa kuasa bukanlah eksklusif kepada lelaki - wanita juga memiliki keinginan dan kemampuan untuk mengejar kepimpinan, namun dengan risiko yang sama terhadap integriti dan moraliti.

Dalam budaya Nusantara, kepimpinan dilihat bukan hanya sebagai peluang untuk mencapai matlamat peribadi, tetapi sebagai amanah yang harus dijaga demi kepentingan masyarakat.

Kejatuhan Macbeth menggambarkan pelanggaran amanah ini, memaparkan bagaimana pemimpin yang mengabaikan tanggungjawab moral dan spiritual akhirnya terperangkap dalam kezaliman dan kehancuran.

Adaptasi ini memberikan kritikan halus terhadap situasi politik kontemporari, di mana kuasa sering disalah gunakan tanpa peduli kepada nilai etika dan tanggungjawab sosial.

Randai Macbeth menekankan bahawa kuasa - sama ada digerakkan oleh lelaki atau wanita -harus diimbangi dengan tanggungjawab moral.

Hanya dengan integriti dan kepemimpinan yang bertanggungjawab, kesejahteraan masyarakat dapat dipelihara dan krisis moral dapat dielakkan.

Randai Macbeth sebagai dialog budaya dan refleksi sosial

Lebih daripada sekadar sebuah pementasan, Randai Macbeth berfungsi sebagai medium kritikan sosial.

Kisah Macbeth yang tamak dan mengkhianati amanah mencerminkan fenomena politik masa kini, di mana pemimpin sering terjerumus dalam korupsi dan salah guna kuasa.

Norzizi  bijak menggunakan naratif ini sebagai cerminan kekacauan politik dan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Randai Macbeth bukan sekadar percubaan kreatif, tetapi sebuah eksperimen interkultural yang mendalam.

Pementasan Randai Macbeth arahan Norzizi Zulkifli merupakan sebuah adaptasi interkultural unik yang menggabungkan elemen tradisi Nusantara dengan karya klasik Barat. - Gambar ihsan Izzat Fadzil & Aaren Kang

Pementasan ini menggabungkan nilai Barat dan Nusantara, membuka ruang dialog tentang kuasa, takdir, dan peranan wanita dalam masyarakat.

Ia mengingatkan bahawa teater bukan hanya sekadar hiburan, tetapi juga alat kritikan dan pendidikan.

Melalui adaptasi ini, Norzizi menunjukkan bagaimana karya klasik seperti Macbeth boleh diberi tafsiran baru yang relevan dengan isu-isu semasa.

Gabungan elemen Randai dengan Macbeth bukan sahaja mengangkat seni tradisional, tetapi juga menyampaikan mesej penting tentang tanggungjawab moral dan kepimpinan beramanah - dua elemen utama dalam membentuk masa depan masyarakat.


* Zahari Hamzah merupakan sarjana Pengajian Persembahan UPSI, pengkritik teater dan pernah mengarah teater Muzikal Pak Pandir, dramatari Awang Sulung Merah Muda di Dewan Filharmonik PETRONAS serta penulis skrip Muzikal Pak Pandir Muzikal Dan Muzikal Deman Lebar Daun.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.