Tidak terkecuali, di Kampung Panchor, di sini, apabila sekumpulan anak muda melaksanakan satu aktiviti yang jarang dilihat di kawasan-kawasan lain iaitu bermain wau pada waktu malam.
Menurut mereka, idea berkenaan muncul selepas mendapati musim Angin Timur pada tahun ini 'jatuh' pada bulan Ramadan selain cuaca yang terlampau panas meskipun pada waktu lewat petang.
Tempoh masa untuk bermain wau juga akan menjadi lebih lama iaitu sekitar tiga sehingga empat jam dengan kumpulan wau terawal 'diterbangkan' sekitar jam 11 malam.
Menurut Muhammad Ammar Mohd Kamal, 24, tujuan utama dia dan rakan-rakan bermain wau pada waktu malam ialah untuk menampilkan kemeriahan.
"Idea (itu) bermula memandangkan sekarang bulan puasa, Kedah (pula) cuaca agak panas pada waktu siang, kami main waktu malam untuk cari kemeriahan sebab itu kami letak lampu, kalau main wau waktu malam tapi tiada lampu memang tak (akan) nampak wau.
"Kalau main (wau) pada waktu siang pula, cuaca agak panas pukul 6.30 petang masih panas, (ditambah pula) sekarang 7.30 malam sudah (masuk waktu) berbuka, memang tidak sempat (waktu untuk bermain), (atas) sebab itu kami main malam untuk cari lagi kemeriahan,” kata anak muda yang mengusahakan perniagaan sendiri.
Aktiviti santai yang pada asalnya disertai sekitar lima orang pemain wau kini sudah menarik hampir 40 pemain yang rata-rata merupakan penduduk setempat.
Tambah mereka lagi, kos yang digunakan juga tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan kos untuk bermain wau pada waktu siang memandangkan ianya hanya melibatkan penambahan pada pembelian lampu lampu Diod Pemancar Cahaya (LED).
"(Untuk) buat satu-satu (wau) itu tidak banyak modal (sangat yang dikeluarkan), cuma (untuk) lampu itu (kena) bawa keluar modal sikit, (anggaran harga) sebiji lampu sekitar RM2, satu wau pakai lima biji lampu, jadi RM10 untuk lampu (sahaja),
"(Untuk) ketahanan bateri (setiap wau) itu pula (adalah) sekitar tiga hingga empat hari, (cadangan asal) sampai penghujung Ramadan (tetapi kalau dilihat sambutan) hingga penghujung raya, akan diteruskan," kata, Muhammad Firdaus Ahmad, 26, yang turut bermain wau di waktu malam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Komuniti Penduduk Kampung Panchor, Mohamad Mohd Saad, 65, berkata, aktiviti bermain wau pada waktu malam bukan sahaja dapat menjadi benteng kepada aktiviti tidak bermoral dalam kalangan remaja.
Bahkan, jelas beliau, dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat apabila ia turut melibatkan pengunjung daripada beberapa buah kampung berhampiran seperti Kampung Bechah, Kampung Charok Kudung dan Kampung Bukit Kechil.
Tambah beliau, aktiviti berkenaan juga turut menjadi tarikan terbaharu buat anak-anak Kampung Panchor yang berada di perantauan untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
"Satu lagi (kelebihan) apabila ada (aktiviti) macam ini jadi orang (yang kerja di) luar rasa nak balik kampung, dia tahu aktiviti di kampung ada macam ni, depa rasa nak balik kampung, yang rasa tak mau balik (pada awalnya) mungkin (sudah) ada keinginan nak balik kampung, (jadi akan) meriah sikit
"Reaksi (dari yang bekerja di perantauan) depa (mereka) rasa seronok, saya baca WhatsApp, depa hantar kata (minta) teruskan sampai habis puasa," kata Mohammad lagi.