Bandaraya Kuala Lumpur sememangnya sedang melakukan kajian supaya menyediakan bandaraya ini kepada bandaraya mesra basikal, namun masih belum bersedia sepenuhnya mencontohi New York dan Moscow untuk program perkongsian basikal.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib memberikan reaksi beliau tentang program yang telah dijalankan di beberapa bandaraya maju ini.

Beliau berkata bahawa program perkongsian basikal wujud dan telah dilaksanakan tetapi dalam skala yang kecil di Putrajaya.

“Di Kuala Lumpur kita akan menyiapkan laluan yang sesuai sebelum pelaksanaan sepenuhnya dapat dilakukan. Ini bagi memastikan keselamatan mereka yang berbasikal terjamin dan selamat apabila berbasikal dalam bandar ini,” ujar beliau.

Ditanya mengenai program yang telah dilakukan bagi menarik minat mereka berbasikal, Datuk Ahmad Phesal berkata beliau sedang merangka satu program bersama Jabatan Kesenian Kebudayaan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memupuk minat mereka berbasikal.

“Kami sedang merangka satu aktiviti berbasikal dengan menutup beberapa laluan di Kuala Lumpur bagi memudahkan mereka bersiar-siar dan melakukan aktiviti berbasikal tanpa perlu merisaukan keadaan lalu lintas yang berbahaya.”

“Kajian sebelum dahulu dilakukan bagi mengenalpasti laluan yang perlu ditutup bagi mengelakkan sebarang masalah sewaktu aktiviti itu dilakukan,” tambah beliau.

Program berbasikal semakin menarik minat mereka yang mementingkan kesihatan dan sebagai satu senaman yang mudah dan ringkas.

Mengenai kesedaran secara menyeluruh mengenai pelaksanaan sepenuhnya program ini, Datuk Ahmad Phesal menyatakan tiada jangka masa yang tetap.

Ia bergantung kepada pelaksanaan dan perancangan menyediakan kemudahan yang sesuai kepada mereka yang berbasikal.