Tidak kurang juga ibu bapa yang memberitahu bahawa mereka lebih risau memikirkan COVID-19 berbanding masalah menguruskan keluarga di rumah dan secara tidak langsung berkemungkinan boleh menyebabkan anak-anak turut terkesan dan berasa lebih risau.
Sekiranya ibu bapa dan anak berasa risau pada waktu sebegini, namun mempunyai cara yang sihat untuk menanganinya, pastinya seluruh keluarga akan menjadi lebih resilien dan mampu menghadapi situasi sekarang dan sehingga berakhirnya wabak COVID-19.
1. BERTOLAK ANSUR DENGAN KETIDAKPASTIAN
Cara menangani kerisauan bukanlah dengan menjauhkan diri daripada ketakutan, tetapi menguruskan dan bertolak ansur dengan ketidakpastian yang ada.
Sebagai ibu bapa, berusahalah untuk menjadi model menguruskan kerisauan yang baik pada anak-anak. Perlu mempunyai minda sedar dan sentiasa fokus kepada apa yang sedang berlaku dan tidak membiarkan diri dan situasi menjadi lebih buruk. Sekiranya ibubapa sentiasa cemas, gelabah, menunjukkan kebimbangan melampau dan berfikiran seolah-olahnya seperti bencana akan menimpa (catastrophic) maka sudah pasti anak-anak akan memerhati dan mengikut cara sedemikian.
2. BELAJAR UNTUK SENTIASA BERTENANG
Bijak memilih apa yang perlu dibaca dan dipelajari pada masa ini. Tidak dinafikan, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memperolehi maklumat bagi memastikan keselamatan keluarga. Namun perlu diingat, seharusnya kita berfikir jauh dalam memilih bahan bacaan atas talian yang berguna dan daripada sumber yang sahih.
Mungkin boleh ditetapkan had berapa banyak bahan bacaan yang perlu diikuti dan baca sehari. Sekiranya ibu bapa melihat berita di media sosial yang membuatkan anda semakin gusar, hentikan seketika.
Fokus pada apa yang anda sedang lakukan. Sentiasa ingatkan diri sendiri yang anda sedang melakukan sesuatu yang sangat bermakna iaitu membantu mengurangkan risiko dengan mengamalkan jarak sosial dan memastikan kebersihan diri dan anak-anak terjaga. Fokus kepada apa yang berlaku pada waktu ini dan tangani apa yang berlaku sekarang.
Berhenti seketika sekiranya anda merasa anda mula terusan berfikir “Macamana kalau..” “apa yang akan berlaku kalau..”. Cuba pelajari teknik yang boleh membantu untuk kekal tenang.
Perlu ada rutin harian. Melakukan rutin harian melibatkan senaman, pemakanan seimbang, beribadat dan tidur yang mencukupi sangat penting membantu aturan mood dan mengurangkan kerisauan anda. Sekiranya rutin sebelumnya tidak dapat dilakukan disebabkan langkah pencegahan COVID-19, perlu diwujudkan rutin harian baru yang lebih fleksibel. Sentiasa ingatkan diri sendiri, hidup perlu diteruskan.
3. PERHATIKAN ANAK-ANAK, PEKA PADA PERUBAHAN EMOSI, FIKIRAN DAN TINGKAH LAKU
Anak-anak yang merasa risau dan takut mungkin tidak menunjukkan gejala yang ketara. Mereka mungkin tidak tahu bagaimana meluahkan apa yang dirasai.
Sebagai ibubapa, kita harus peka pada kepelbagaian ekpresi perasaan risau dan takut pada diri anak-anak yang boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti:
- Kerap risau dan bertanya untuk kepastian (“Kita akan okay ke ibu?”, Atuk nenek kat kampung akan okay ke?”)
- Tidak mahu berjauhan daripada ibu bapa
- Kerap mengadu sakit fizikal seperti pening kepala atau sakit perut
- Moody dan cepat marah
- Kerap mengamuk
- Sukar tidur
Bagi anak-anak yang pandai meluahkan perasaan mereka, boleh gunakan teknik soalan seperti “Awak rasa perasaan risau tu akan buatkan awak tak dapat buat apa yang awak suka hari ni?”
Bagi anak remaja pula, boleh mulakan pertanyaan seperti ini, “Ibu ada baca kat internet hari ni dan ibu tertanya juga berkaitan (perkara yang merisaukan). Awak pun ada rasa macam tu ke? Kalau ada, apa yang awak lakukan?”.
4. BANTU MENANGANI KERISAUAN ANAK
Adakan struktur harian bagi mengelakkan mereka mudah merasa bosan dan timbul kebimbangan. Pastikan kita mempunyai jadual untuk mereka sepanjang berada di rumah. Selang-selikan waktu kerja rumah atau kerja sekolah dengan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan di samping waktu untuk rehat. Berikan peluang untuk mereka bersenam dan berinteraksi dengan kawan di atas talian.
Elakkan daripada memberikan terlalu banyak jaminan. Terlalu banyak jaminan tidak membantu dan boleh menjadikan kerisauan anak bertambah apatah lagi sekiranya ibubapa sendiri tidak pasti dengan situasi yang berlaku dan tidak dapat memberikan jaminan sepenuhnya.
Sebaliknya, ingatkan anak-anak supaya sentiasa melakukan sesuatu di dalam kawalan mereka seperti menjaga kebersihan diri dan duduk dirumah serta galakkan mereka untuk sentiasa fokus dan menikmati apa yang sedang mereka lakukan diwaktu ini.
5. JADI MODEL IBU BAPA YANG TENANG
Tidak dinafikan dalam situasi ketidakpastian sekarang, ramai ibu bapa yang akan berasa bimbang dan risau, it’s normal untuk berasa risau dan bimbang. Namun sebaiknya elakkan menunjukkan kerisauan yang keterlaluan kepada anak-anak.
Sekiranya anda merasa cemas dan tidak tenang, cari kaedah yang sesuai dengan anda untuk membuatkan anda tenang seperti memerhatikan persekitaran dengan menggunakan deria anda. Berkongsi kerisauan dengan suami dan ahli-keluarga yang lain.
Dapatkan bacaan dan nasihat daripada sumber yang boleh dipercayai. Tingkatkan ibadat, berzikir dan banyakkan berdoa semoga dipermudahkan dan diberikan ketabahan untuk kita semua menghadapi situasi mencabar ini.
Pandang ujian ini dari sudut yang positif. Jadikan tempoh PKP ini sebagai peluang untuk anda melakukan sesuatu yang lebih produktif, peluang untuk menjalinkan dan merapatkan hubungan dengan anak-anak, melakukan aktiviti yang menyeronokkan. Sentiasa mencari hikmah disebalik sesuatu ujian dan kejadian. Semoga kita semua diselamatkan dari wabak COVID-19 ini.
* Dr Rahima Dahlan @ Mohd Shafie ialah Pakar Psikiatri Kanak-kanak & Remaja, Jabatan Psikiatri,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.