Ringkasan AI
- Penggunaan pengering rambut yang terlalu kerap boleh menyebabkan rambut beruban di usia muda kerana suhu panasnya mengganggu penghasilan melanin.
- Kekurangan vitamin B12 dan zat besi juga boleh menyebabkan uban pramatang. Disarankan untuk mengambil makanan kaya dengan vitamin dan mineral ini.
- Stres, vitiligo, dan merokok turut menjadi punca rambut beruban. Merokok, khususnya, mempercepatkan proses uban kerana serangan radikal bebas yang menurunkan kadar melanin.
Pegawai perubatan, Dr Ahmad Samhan Awang menjelaskan suhu panas pengering rambut akan menyebabkan gangguan kepada penghasilan melanin.
"Uban terbentuk kerana folikel yang menjadi tempat tumbuhnya rambut memiliki sekumpulan sel yang disebut melanosit.
"Sel melanosit inilah yang berfungsi untuk menghasilkan melanin atau pigmen yang memberikan warna gelap pada rambut," katanya pada Sabtu di aplikasi X.
Menurutnya, uban di usia muda juga boleh disebabkan oleh kadar vitamin B12 yang rendah.
"Selain vitamin tersebut, zat besi juga sangat diperlukan sebagai makanan rambut. Jadi, sangat disarankan untuk selalu mengambil makanan yang kaya vitamin B12 dan zat besi," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Samhan berkata, stress, vitiligo dan merokok turut menjadi punca rambut beruban.
Katanya, vitiligo adalah kondisi yang mana sistem autoimun yang boleh merosakkan melanosit iaitu sel-sel yang menghasilkan pigmen untuk warna rambut.
Tambahnya, kajian yang dijalankan oleh J G Mosley di British Medical Journey pada 1996 mendapati bahawa perokok akan mengalami empat kali lebih cepat mengalami masalah rambut beruban.
"Merokok boleh mendatangkan serangan radikal bebas di dalam tubuh dan ia juga mampu menurunkan kadar melanin," katanya.
Dr Ahmad Samhan berkata, mereka yang mengalami keadaan uban pramatang disebabkan kekurangan vitamin dan mineral, digalakkan mengambil vitamin melalui sumber makanan semula jadi seperti telur, makanan laut dan ikan salmon.
"Amalkan sajian kaya kalsium dan makanan tinggi tembaga termasuklah hati lembu, kacang almond, coklat hitam dan asparagus," katanya. -Sinar Harian