DIA tidak pernah minta dilahirkan dengan kebolehan dan keupayaan berbeza.

Namun takdir yang datang, diterimanya dengan hati terbuka malah tidak sedikit pun menjadi penghalang untuknya menjalani kehidupan seperti anak muda lain.

Dek kerana kelainan itu, dia sering menjadi mangsa, dihakimi oleh 'mahkamah masyarakat', tanpa sedikit perasaan untuk terlebih dahulu mengenali, memahami atau mendekati siapa dia sebenarnya.

Setiap ruang yang dimiliki cuba diraihnya, namun sayang, tiada yang sudi membuka peluang untuk insan sepertinya.

Dan apabila akhirnya ada yang sudi memahami, membuka pintu untuknya berdikari, salah faham masyarakat yang sebahagian besar daripadanya kerana tidak berperasaan tetap menjadi duri dalam daging.

Dia tidak mengeluh, sebaliknya tanggungjawab yang digalas dilaksanakan sebaik mungkin.

Itu serba sedikit kisah perjalanan hidup Dan Lo, seorang anak muda istimewa, penghidap autisme.

Kisah lelaki tersebut mula viral di laman sosial sejak semalam, selepas satu perkongsian oleh seorang bekas wartawan, Syahril Abdul Kadir, di akaun Facebook miliknya.


Kehadiran Syahril ke Kuala Lumpur International Hotel (KLIH), membuka matanya sekaligus menzahirkan kekagumannya yang bukan sedikit terhadap anak muda berusia 22 tahun itu.

Dan yang bertugas sebagai pelayan di restoran hotel tersebut, dilihat tekun melakukan kerjanya, namun Syahril dapat mengagak kelainan pada diri Dan.

Di mata Syahril, Dan seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.

Apa yang difikirkan Syahril seolah-olah terbukti apabila anak muda itu menghantar minuman yang dipesannya.

Berbeza dengan pelayan lain yang akan menghidangkan minuman kepada pelanggan, Dan sebaliknya hanya berdiri di tepi Syahril, sehingga memaksanya mengambil sendiri minuman tersebut daripada dulang.

Belum sempat melayan perasaan tidak selesa dengan situasi itu, Syahril disapa oleh seorang eksekutif yang memaklumkan situasi Dan.

Melalui perbualan dengan eksekutif bernama Aishah itu, Syahril mendapat tahu Dan tidak pernah menerima pendidikan formal, sebaliknya hanya mengikuti tuisyen di rumah.

Dia kemudiannya dihantar mengikuti kursus perhotelan, namun status Orang Kelainan Upaya (OKU) membuatkan dia sering gagal mendapatkan pekerjaan.

Hasrat Dan untuk bekerja akhirnya menjadi kenyataan apabila diberi peluang oleh KLIH.

Apa yang mengagumkan, di sebalik keadaannya, Dan tidak pernah ponteng kerja, malah punya disiplin yang baik.

"Ada pelanggan yang tak tahu pernah memarahinya tetapi Dan tidak pernah ambil hati. Dia tabah menjalankan tugas dan tak mahu kami memberikan layanan istimewa terhadapnya.

"Dia mahu berdikari, tak mahu membebankan keluarga," kata Aishah seperti yang ditulis dalam status Syahril.

Syahril juga memuji langkah yang diambil KLIH yang memberikan peluang kepada insan seperti Dan untuk melalui kehidupan sebagaimana insan normal yang lain.

Besar harapan Syahril agar apa yang dikongsikannya itu dapat dijadikan iktibar kepada masyarakat untuk tidak menyisihkan golongan kelainan upaya seperti Dan.

Sekaligus dapat memberikan layanan dan ruang yang sama rata buat mereka.