GUNUNG Ledang sememangnya sinonim dengan masyarakat di negara ini. Baik yang muda apatah lagi yang tua pasti pernah mendengar kisah mengenainya.

Tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, tujuh tempayan air mata anak dara dan jambatan emas merupakan antara syarat yang dikenakan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah yang ingin meminangnya.

Kisah berkenaan Puteri Gunung Ledang wujud sejak zaman-berzaman, malah tertulis dalam dua karya lama iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).

Legenda menceritakan puteri berkenaan dikatakan mempunyai rupa paras jelita menjaga Gunung Ledang dan ‘dipercayai’ masih mendiami gunung itu hingga kini.

Lantaran itu Gunung Ledang setinggi 1,276 meter yang terletak di Tangkak, Johor dan bersempadan dengan Melaka merupakan antara lokasi wajib bagi mereka yang mengemari aktiviti mendaki.

Biarpun terlalu banyak kisah mistik masih menyelubungi gunung itu, namun ia bukan penghalang kepada para pendaki baik dari dalam mahupun luar negara untuk menawan puncaknya.


Sejarah Gunung Ledang

Nama Ledang dikatakan berasal daripada orang Jawa ketika pemerintahan Empayar Majapahit yang membawa maksud Gunung Dari Jauh atau Gunung Paling Jauh.

Mengikut satu catatan sejarah purba, puncak Gunung Ledang dikatakan menjadi tempat simpanan banyak emas sehingga menarik minat pedagang dari China dan Greece.

Pada kurun ke-14, pedagang China yang berulang-alik di Selat Melaka memanggil Gunung Ledang sebagai ‘Kim Sua’ bermakna Gunung Emas.

Menurut sejarah, Laksamana Cheng Ho dikatakan pernah melawat lombong emas di Gunung Ledang. Beliau dikatakan turut membawa beberapa bongkah emas untuk dipersembahkan kepada Maharaja Cina.

Di keliling puncak Gunung Ledang terdapat tujuh lagi puncak gunung yang rendah dan setiap satunya mempunyai legendanya yang tersendiri.

Paling aneh sekali ialah puncak Gunung Gemih yang dikatakan mempunyai sebuah gua emas yang dikawal oleh penunggunya yang menyerupai seekor lembu emas.

Pemandangan dari puncak Gunung Ledang

Dalam peta lama Portugis, nama Gemih ditulis sebagai ‘Gummay’ yang bermaksud pusat perusahan emas.

Menurut Kolonel Gerini (1904), Gemih pernah menjadi pusat perlombongan emas bagi orang Melayu Melaka sehingga tahun 1817.

Rounsevelle Wildman, seorang penulis terkenal dari Amerika Syarikat juga dikatakan pernah menemui seketul logam yang diambil dari kawasan lombong di tebing Sungai Gemih pada tahun 1894 yang apabila dileburkan mengandungi emas.

Menurut sumber buku sejarah Melaka di Perpustakaan Lisbon pula, Gunung Ledang juga dikenali dengan nama Ophir oleh penjajah Portugis yang menguasai negeri Melaka pada tahun 1511.

Perkataan Ophir berasal daripada bahasa Yunani dan Hebrew bermaksud larangan bermakna Gunung Larangan.


Menuju ke Asahan

Hasrat untuk menawan puncak Gunung Ledang sememangnya telah lama aku pendamkan. Ini kerana percubaan kali pertamaku untuk menawan puncak tertinggi di negeri Johor itu gagal kerana kurangnya persiapan diri.

Disebabkan itu perlawaan Salina Salim dari Kelab Putera Puteri Gunung (PPG) hujung tahun lalu ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’.

Aku segera menghubungi Salina untuk bertanyakan mengenai jadual pendakian untuk misi tersebut. Maklumlah aku tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ sekiranya stamina dan kemampuan diri tidak seperti yang diharapkan.

Setelah berpuasa hati dengan penerangan yang diberikan aku segera menyatakan persetujuan. Hanya aku dan Mohd Syafiq Zulkifli yang mewakili Team Busut untuk misi kali ini. Ini kerana rata-rata ahli Team Busut yang lain telah pun menjejakkan kaki ke puncak Ledang.

Setelah menyiapkan segala kelengkapan yang diperlukan, aku dan Syafiq segera bertolak ke pos pendaftaran Taman Negara, Laman Tiga Budaya Asahan.

Kami tiba agak awal dan kesempatan itu digunakan untuk merehatkan badan sementara menanti ketibaan para peserta yang lain.

Sekitar jam 7.00 pagi, kami segera membersihkan badan sambil bersarapan di gerai yang berhampiran.

Sebelum mendaki, semua peserta seramai 30 orang diminta mengisi borang pengisytiharan untuk melaporkan barang-barang yang akan dibawa semasa pendakian.

Kegagalan membawa turun waima satu bungkus plastik mahupun putung rokok akan menyebabkan peserta di denda sebanyak RM5.00 untuk setiap barang.

Ia bertujuan untuk memastikan semua barang tersebut di bawa turun bagi memastikan kebersihan Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang terus terpelihara. Di samping memupuk sikap bertanggungjawab di kalangan pendaki.

Ketua Jurupandu, Agus Basuf kemudiannya memberikan sedikit taklimat keselamatan serta penerangan ringkas mengenai laluan yang akan digunakan. Menurutnya terdapat beberapa trek laluan untuk ke puncak Ledang iaitu trail Asahan, trail Lagenda, trail Ayer Panas dan yang terakhir trail Ulu Jementah.

Sebelum memulakan pendakian sedikit senaman ringkas dilakukan disusuli dengan bacaan doa ringkas agar misi pendakian kami dipermudahkan.

Selain peserta, misi pendakian pada pagi itu turut disertai 3 orang jurupandu dengan di bantu 5 orang krew dari PPG.

Arshad Mohamad mengetuai barisan hadapan, Salina di bahagian tengah manakala Khairul Rahimi Uberaina di bahagian belakang bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.


Pendakian melalui trail Asahan

Trek pendakian di peringkat permulaan dari Lubok Kedondong menuju ke Enggang Berangan (CP1 / 319m) agak landai dengan anggaran masa sekitar 40 minit.

Setelah berehat seketika kami meneruskan pendakian ke Hentian Hanuman (CP2 / 514m). Menurut Lagenda, sang Hanuman dikatakan berhenti di sini setelah berjalan di Gunung Ledang.

Seterusnya aku dan Syafiq berjalan menuju ke Hentian Unggas (CP3 / 581m). Walaupun trek sedikit landai dan ada kalanya menaik, namun jarak perjalanan sekitar 1.3km itu begitu memenatkan.


Uniknya Gunung Ledang

Laluan menuju ke Lembah Beruang (CP4 / 648m) agak mudah kerana trek yang menurun sejauh 800 meter.

Aku dah Syafiq kemudiannya berhenti rehat untuk menjamah juadah tengah hari yang dibungkus di gerai ketika kami bersarapan tadi.

Manakala peserta lain ada yang turut berhenti rehat selebihnya memutuskan untuk meneruskan perjalanan menuju ke tapak perkhemahan.

Sambil makan kami saling berbual dengan para peserta dan guider untuk berkongsi pengalaman mereka sepanjang mendaki ke puncak Ledang.

Misi menawan Gunung Ledang berjaya

Menurut mereka Gunung Ledang memang diakui sebagai gunung yang unik kerana mempunyai flora tersendiri kerana terasing daripada Banjaran Titiwangsa.

Selain itu kaki gunung Ledang juga merupakan titik pertemuan antara tiga negeri Johor (Tangkak), Negeri Sembilan (Gemas) dan Melaka (Jasin).

Mengikut cerita lisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi, kawasan tiga sempandan itu dipercayai menjadi lokasi bermulanya usaha Hang Tuah membawa titah Sultan Melaka untuk meminang Puteri Gunung Ledang yang bersemayam di puncak gunung.

Disebabkan keunikan dan keistimewaan itu juga semua pendaki sering dinasihatkan agar memasang niat yang bersih. Serta menjaga budi bahasa, tingkah laku dan juga percakapan sepanjang berada di kawasan ini.

Kerana selain manusia gunung ini turut didiami oleh pelbagai jenis kehidupan lain seperti haiwan dan juga makhluk dari alam ghaib.

Kami turut dinasihatkan agar jangan ‘gatal tangan’ sekiranya terjumpa dengan benda-benda pelik sepanjang pendakian.

Biarkan sahaja ia kekal di tempatnya, kerana pernah terjadi beberapa peserta sebelum ini yang diganggu kerana membawa pulang ‘barang’ yang dijumpainya.

Malah lebih parah, ada yang diminta untuk memulangkan kembali barang dijumpai tersebut.

Dipercayai beberapa kawasan gunung ini merupakan penempatan untuk makhluk halus yang dikenali sebagai bunian.

Disebabkan itu mereka yang ingin membuang air, diminta untuk mengorek tanah terlebih dahulu dan kemudian timbus.

Malah para pendaki dilarang sama sekali untuk mengotorkan kawasan khususnya di kawasan berair.

Ini kerana ia untuk kegunaan semua, bukan hanya manusia tetapi juga haiwan dan tumbuhan.

Selesai sesi bertukar-tukar cerita, kami meneruskan pendakian ke Hentian Batu Belumut (CP5 / 837m) sejauh 1.3km. Rata-rata pendaki yang tidak bersedia dari segi fizikal dan mental akan terkandas di laluan ini.

Kerana laluan yang menegak di tambah dengan ‘cut off time’ bagi mereka yang mendaki secara harian. Ia bagi mengelakkan pendaki turun ketika hari sudah gelap.

Memandangkan kami akan berkhemah jadi pendakian di teruskan dengan agak santai.

Laluan menuju ke hentian Padang Batu (CP6 / 948m) boleh di katakan agak mencabar. Ini kerana kami terpaksa memanjat batu besar dengan kecuraman sekitar 60 ke 70 darjah.

Walaupun agak gayat, namun demi menawan puncak Ledang aku gagahkan jua. Sebaik sahaja melepasi cabaran tersebut, mataku seakan terpaku melihat keindahan panorama yang begitu mengasyikkan.


Dijamu kambing panggang

Setelah puas menatap keindahan tersebut, aku dah Syafiq segera mencari kawasan untuk mendirikan khemah.

Ninna yang tiba tidak lama selepas itu, segera mengeluarkan peralatan memasak. Tak ubah seperti lagak seorang mak di dapur, dia segera mengarahkan krunya agak turut membantu menyiapkan juadah makan malam untuk kami semua.

Ada yang mengupas bawang, ada sibuk menjerang air panas tidak kurang juga ada yang menghidupkan unggun api.

Kerjasama membantu memudahkan misi menawan puncak Gunung Ledang

Suasana petang itu begitu meriah dengan celoteh mereka. Penat mendaki sebentar tadi seakan hilang saat mendengar gelak tawa mereka.

Sekitar jam 8.00 malam, aroma kambing bakar mula menyucuk ke hidung. Padanlah awal pagi tadi semua kru dilihat memikul beg seberat 20-40 kg.

Rupanya malam itu kami disajikan dengan juadah ayam dan kambing panggang BBQ. Mungkin inilah yang dinamakan ‘pikul bak hamba, makan seperti raja’. Sungguh enak dan menyelerakan.

Aktiviti pada malam itu lebih kepada sesi sual kenal dan berkongsi pengalaman. Kami turut diberi taklimat mengenai aturcara menjelang esok pagi.

Seawal jam 5.00 pagi, kami dikejutkan untuk bersiap sedia menuju ke puncak Ledang. Setelah membersihkan diri dan menyiapkan kelengkapan untuk mendaki, kami mula melangkah menuju ke Gunung Rundok (CP7 /1078m).

Dikatakan Gunung Rundok ini merupakan tempat Mahaguru Adi Putera mengajar Hang Tuah dan 4 saudaranya ilmu persilatan.

Setibanya di Gunung Rundok, aku dan Syafiq berhenti seketika bagi menghormati masuknya waktu solat Suboh. Seusai azan berkumandang dan menunaikan tanggungjawab kami meneruskan pendakian menuju ke puncak Ledang.

Keadaan cuaca yang agak baik pada pagi itu memudahkan pendakian kami. Walaupun ada di kalangan kami yang mengalami masalah kekejangan otot namun berbekal semangat yang tinggi, sekitar jam 7.30 pagi puncak Ledang berjaya ditawan.

Masing-masing sibuk merakamkan gambar dari segenap sudut. Pelbagai gaya dan aksi dipertontonkan bagi meraikan jerih payah yang terpaksa dilalui sebelum ini.

Setelah puas bergambar dan menikmati keindahan alam, kami mula bergerak turun.

Setibanya di tapak perkhemahan masing-masing kelihatan sibuk mengemas dan membersihkan kawasan sekitar. Ia bagi memastikan tiada sampah yang ditinggalkan bagi menjaga kelestarian hutan simpan tersebut.

Semua peserta berjaya turun dengan selamat sekitar jam 3.00 petang. Ternyata Gunung Ledang memberikan satu lagi kenangan indah buat kami semua.

Terima kasih PPG kerana merelisasikan impianku untuk menawan puncak Ledang.



* Zulkifli atau Bob Rawi merupakan seorang penggemar aktiviti memanjat gunung dan sedang berusaha gigih menguruskan badan.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.