BUAT pertama kali selepas bertahun lamanya, White House menerima kehadiran seekor kucing sebagai penghuninya.

Namanya Willow, berusia dua tahun, berwarna kelabu, berasal dari sebuah ladang di Pennsylvania dan kini digelar America's First Cat.

"Willow kini tinggal di White House bersama mainan kegemarannya, hidangan yang lazat dan ruang yang luas diterokai," kata Michael LaRosa, jurucakap wanita pertama AS, Jill Biden.

Jill sebelum ini memaklumkan mereka akan membawa seekor kucing tinggal bersama mereka dan White House mengesahkan si comel itu akan tiba pada Januari 2022.

Willow dinamakan sempena kampung halaman Jill di Willow Grove, Pennsylvania.

Willow The Cat. - Erin Scott/The White House/Handout via REUTERS

Tabby berbulu pendek itu menambat hati Jill selepas ia melompat ke atas pentas dan mengganggu ucapannya semasa singgah untuk kempen suaminya di Pennsylvania, kira-kira dua tahun lalu.

"Melihat kemesraan mereka, pemilik ladang itu tahu bahawa tempat Willow adalah bersama Jill ," katanya LaRosa.

Kali terakhir White House didiami kucing sebagai peliharaan keluarga pertama AS ialah pada 2009.

India, kucing milik Presiden George W. Bush, mati ketika masih dalam peliharaan sejurus sebelum Bush menamatkan penggal pentadbirannya.

Sebelum itu, Presiden Bill Clinton juga mempunyai seekor kucing bernama Socks.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!