TERAPI muzik klasik meningkatkan hasil susu lembu sebanyak lima peratus, kata seorang penternak.

Mehmet Akgül, penternak lembu dari daerah Yazıhan, memulakan eksperimen di ladang lembu miliknya di wilayah Malatya di timur Turki.

Dia memainkan muzik menggunakan pembesar suara, dengan volume dinaikkan pada waktu-waktu tertentu untuk meningkatkan pengeluaran susu.

"Kita tahu muzik mempunyai kesan menenangkan pada manusia, jadi saya berfikir mengapa tidak ia beri kesan yang sama pada haiwan?" Akgül memberitahu akhbar, Turki Hürriyet.

“Tak kisah apa yang anda lakukan, yang penting adalah untuk menghilangkan rasa tekanan pada haiwan.

"Hasilnya, saya melihat peningkatan pengeluaran susu yang signifikan dan masalah kesihatan juga menurun."

Seorang doktor haiwan, Mehmet Erkan Doğan memaklumkan, menjaga kebajikan haiwan adalah aspek utama untuk mendapatkan hasil ternakan yang baik.

“Haiwan perlu sihat dan tenang dari segi psikologi dan fizikal. Kerana itu terapi muzik klasik berkesan pada haiwan," katanya.

Kajian mengenai kesan muzik klasik terhadap pengeluaran susu lembu telah lama dijalankan.

Pada tahun 2001, penyelidik di University of Leicester menerbitkan journal ‘Moosic Study’, yang mendapati bahawa lembu menghasilkan lebih banyak susu ketika mendengar lagu klasik yang santai.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !