SEORANG lelaki terpinga-terpinga apabila mendapati beg tangan mewah yang dibelikan untuk neneknya, digunakan untuk mengisi ikan mentah.

Kisah lelaki dari Taiwan itu menjadi tular selepas dikongsi ke sebuah laman web, DCard, sebelum dikongsi ke Facebook.

Lelaki yang tidak dapat dikenal pasti identitinya itu menceritakan, dia berhasrat membelikan sesuatu yang mahal dan cantik untuk neneknya itu, sebelum memilih sebuah beg berjenama newah Louis Vuitton.

Beg itu dari jenis Neverfull, yang dianggarkan berharga AS$1,200 (RM5,315).


"Nenek jarang beli beg tangan. Malah, dia tidak kisah tentang jenama dan hanya menggunakan beg tangan yang diperbuat daripada kain.

"Saya tidak tahu nak pilih yang mana, jadi saya minta pembantu kedai pilihkan untuk saya. Saya beritahu, saya mahu berikan kepada nenek saya," tulis lelaki itu.

Namun dia terkejut apabila pulang ke kampung pada satu hari, dan mendapati neneknya menggunakan beg itu untuk mengisi ikan mentah.

"Saya tanya dia, kenapa dia gunakan beg itu untuk isi ikan? Dia juga tidak meletakkan ikan itu di dalam plastik.

"Kata nenek, dia suka bawa beg itu kerana ia besar dan tidak bocor. Cuma katanya, ia berat sedikit.

"Pada mulanya saya memang rasa nak marah. Tapi apabila nenek tersenyum, saya tak jadi marah.

"Sekurang-kurangnya nenek gembira. Itu yang lebih penting," tulisnya mengakhiri cerita.